Wanita antara ditahan di Bandar Sunway, miliki lebih dua kilogram ganja


  • 112
  • Jumaat, 26 Nov 2021

KESEMUA suspek tidak mempunyai rekod lampau dan ujian air kencing didapati negatif — The Star

POLIS menahan dua lelaki dan seorang wanita yang disyaki terlibat mengedar ganja ditahan dalam serbuan di sekitar Bandar Sunway, Selangor di sini pada malam Selasa.

Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman, pihaknya menahan kesemua suspek dalam dua tangkapan sekitar pukul 8.30 malam dan 11.10 malam.

"Dalam serbuan pertama (kira-kira 8.30 malam) ke atas sebuah kereta, polis menahan seorang suspek lelaki dan wanita tempatan berusia dalam lingkungan 20-an.

"Hasil pemeriksaan menjumpai satu ketulan mampat berisi dedaun kering disyaki dadah jenis ganja dianggarkan seberat 940 gram di dalam bungkusan plastik yang dipegang salah seorang suspek," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Tambahnya lagi, berdasarkan hasil soal siasat, polis menemui dua ketulan mampat berisi dedaun kering disyaki ganja dianggarkan seberat 210 gram di dalam sebuah bilik di rumah suspek di Bandar Sunway.

Sementara itu, kira-kira jam 11.10 malam, pihaknya menahan seorang lagi suspek (lelaki) berusia dalam lingkungan 30-an.

"Lelaki berkenaan yang merupakan warga tempatan di tahan di tepi jalan sekitar kawasan Bandar Sunway.

"Hasil pemeriksaan ke atas kereta dinaiki suspek menjumpai satu ketulan mampat dedaun kering disyaki ganja dianggarkan seberat 1,000 gram diletakkan dalam sebuah kotak," ujarnya.

Kata Abd Khalid lagi, pihak polis juga menemui lima ketulan mampat berisi dedaun kering disyaki dadah jenis ganja dianggarkan seberat 618 gram.

Ganja berkenaan itu ditemui hasil pemeriksaan ke atas rumah suspek.

"Hasil ujian awal ujian air kencing ke atas ketiga-tiga suspek didapati negatif dan semakan mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod lampau.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Mahkamah Shah Alam membenarkan kesemua suspek direman sehingga 30 November 2021 (Selasa)," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram