'Kepentingan sosioekonomi lebih serius berbanding PRU15'


  • Massa
  • Rabu, 24 Nov 2021

PRU15 tidak wajar dilaksanakan dalam waktu terdekat hanya semata-mata mahu memulangkan mandat kepada rakyat. — gambar hiasan
PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak wajar dipercepatkan kerana Covid-19 masih membelenggu negara, tegas Dr Noor Nirwandy Mat Noordin.

Penganalisis politik Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu berkata, asas pilihan raya sememangnya adalah untuk rakyat dan demokrasi adalah satu pentadbiran untuk rakyat.

Beliau berkata, kepentingan sosioekonomi yang sebenarnya perlu diambil serius oleh kerajaan berbanding PRU nanti.

"Sekarang ini rakyat hanya inginkan sosioekonomi mereka terjaga yang meliputi peluang pekerjaaan, kesihatan dan juga ekonomi.

"Ini semua adalah sentimen rakyat yang mana mereka tidak ingin dibabitkan dengan isu politik," katanya kepada Majoriti.

noor
Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, penganalisis politik

Selain itu, Noor Nirwandy juga mengesyorkan supaya PRU5 ditunda kerana kerajaan sepatutnya mengkaji lebih dalam terlebih dahulu adakah vaksin penggalak penting untuk kurangkan kadar Covid-19 di negara ini.

Ujarnya, isu vaksin penggalak ini masih menjadi tanda tanya kepada rakyat dan perlu diselesaikan secepatnya dengan merujuk data-data daripada luar negara.

Tambahan lagi, keselamatan politik di negara ini juga berada dalam keadaan yang stabil yang mana kerajaan masih dalam proses memperbaiki fasa ekonomi ekoran pandemik Covid-19 yang melanda sangat dahsyat.

"Kita perlu memberi peluang kerajaan untuk membuktikan mereka mampu memimpin negara kita. Bajet 2022 pun baru sahaja dibentangkan dan biarkan proses baik pulih ini menjadi akar kestabilan politik, ekonomi dan kesihatan kepada negara kita," tambah Noor Nirwandy.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan mengatakan PRU15 perlu dilaksanakan dalam waktu terdekat atas alasan ingin pulangkan mandat kepada rakyat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram