'Sistem perkhidmatan kaunter JPJ terlalu kuno' - Ka Siong


  • Primer
  • Ahad, 28 Nov 2021

KA Siong (kanan) mengadakan lawatan mengejut ke JPJ Johor pada Ahad. — Facebook

MENTERI Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong menyifatkan sistem perkhidmatan kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedia ada ketika ini sebagai terlalu kuno kerana telah melebihi tempoh 10 tahun.

Beliau membuat kesimpulan itu selepas mengadakan lawatan kerja mengejut ke JPJ Johor di Taman Daya Johor Bahru bagi mendapatkan maklum balas orang ramai mengenai perkhidmatan agensi kerajaan itu.

Menurutnya, sistem perkhidmatan sedia ada menyebabkan orang ramai masih perlu beratur panjang untuk berurusan dengan JPJ.

“Selepas lawatan kerja mengejut, saya dapat membuat kesimpulan bahawa sistem perkhidmatan kaunter JPJ yang sedia ada terlalu kuno (lebih 10 tahun) dan perlu ada anjakan paradigma ke arah digitalisasi untuk jangka panjang bagi memastikan semua perkhidmatan kaunter JPJ menjadi lebih efisien dan tidak menyusahkan rakyat.

“Secara terus terang, saya sedih dan terkilan apabila melihat orang ramai masih beratur panjang di sekeliling bangunan JPJ Johor. Saya terus menyiasat punca yang menyebabkan ‘queue’ yang panjang,” katanya di Facebook pada Ahad.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, ada pelanggan memaklumkan terdapat lesen memandu (LMM) tidak dapat diperbaharui di Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan pejabat pos yang memaksa mereka datang ke jabatan itu.

Bahkan katanya, ada pelanggan mempersoalkan sistem MySikap yang transaksi dalam talian sudah selesai, namun masih perlu melakukan cetakan di pejabat JPJ.

Katanya lagi, hasil lawatan itu juga mendapati daripada empat mesin cetak LMM dibekalkan Percetakan Keselamatan Nasional (PKN), hanya dua sahaja berfungsi di pejabat JPJ Johor.

“Perkara ini amat mengecewakan dan saya terus menghubungi serta mengarahkan PKN segera membaiki atau menghantar mesin cetak LMM. Jangan buang masa orang ramai beratur panjang dan berjemur di bawah matahari yang terik," tegasnya.

Semasa lawatan itu, Ka Siong turut memberikan nombor telefon bimbitnya kepada pegawai JPJ Johor supaya segala kesulitan yang dihadapi dilaporkan terus kepada beliau.

“Saya juga tegur warga JPJ Johor agar memantau rapi kesesakan di bangunan JPJ khususnya pada Ahad.

"Saya pesan, jangan biarkan orang awam menunggu berjam-jam hanya kerana mahu mendapatkan cetakan LMM,” katanya.

260257045_441935537303006_9062914321189671735_n

ANTARA sebahagian mesin cetakan LMM yang ditambah PKN di pejabat JPJ Johor selepas lawatan mengejut Ka Siong ke pejabat itu pada Ahad. — Facebook

Ka Siong berkata, beliau juga mengarahkan ibu pejabat JPJ supaya serta-merta mengumpulkan maklumat dari semua cawangan JPJ, UTC dan pejabat Pos tentang prestasi terkini cetakan LMM dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) menggunakan mesin cetak dibekalkan PKN.

Katanya, perkara itu penting kerana beliau tidak mahu situasi sama di JPJ Johor berlaku di tempat lain yang akhirnya membazir masa dan rakyat kerana kebanyakan mereka mahu menyelesaikan urusan dengan cepat dan mudah.

Dalam pada itu, menerusi hantaran Facebook berbeza, Ka Siong berkata, PKN telah mengambil tindakan segeri menghantar pasukan teknikalnya membaik pulih serta menambah mesin cetakan LMM.

Katanya, setakat jam 4 petang, tiga mesin cetakan LMM telah berfungsi di kaunter awam dan dua lagi mesin diletakkan di kaunter pukal khas untuk institusi memandu serta syarikat besar.

"Ini bermaksud lima mesin berfungsi berbanding dua sahaja mesin pada pagi Ahad.

"Pengarah JPJ Johor, Zainal Adnan juga mengesahkan tentang penambahan mesin tersebut setelah dihubungi saya.

"Semua pihak mesti mengambil iktibar dan sentiasa meningkatkan produktiviti demi kepentingan serta keselesaan rakyat," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram