SEBANYAK 45 penumpang termasuk 12 kanak-kanak maut selepas bas yang dinaiki mereka terbabas sebelum terbakar dalam kejadian yang berlaku di barat Bulgaria pada pagi Selasa.
Kejadian tersebut disahkan kementerian dalam negeri Bulgaria yang turut memaklumkan hanya tujuh orang terselamat dan sedang mendapat rawatan akibat melecur di hospital.
Pegawai kanan kementerian tersebut, Nikolai Nikolov berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 2 pagi (waktu Bulgaria).
"Kejadian berlaku di lebuh raya Struma dan bas itu hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh penghadang jalan hingga mengakibatkan kebakaran," katanya.
Menurut Nikolov, daripada 53 orang di dalam bas itu, 46 daripadanya maut dan kebanyakannya adalah pelancong dair Macedonia Utara.
Kementerian Luar Macedonia pula berkata, kebanyakan mereka dalam perjalan pulang ke Skopje selepas bercuti hujung minggu di Istanbul, Turki.
Sementara itu, Ketua perkhidmatan penyiasatan Bulgaria, Borislav Sarafov berkata, kemalangan itu berkemungkinan disebabkan oleh kesilapan pemandu atau kerosakan teknikal.
Perdana Menteri sementara Bulgaria, Stefan Yanev turut melawat tapak nahas dan menyifatkan kejadian itu sebagai satu tragedi besar.
"Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan takziah kepada saudara-mara mangsa.
"Semoga kita dapat mengambil iktibar daripada kejadian tragis ini dan dapat mencegah kejadian serupa pada masa hadapan," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram