RAKYAT Malaysia semestinya gusar dengan peningkatan harga barang keperluan asas termasuk ayam, ikan, serta sayur-sayuran.
Kegusaran itu mungkin bertambah apabila harga semua jenis alat ganti kenderaan dijangka meningkat sehingga 60 peratus dalam tempoh terdekat, berikutan masalah bekalan dan peningkatan kos pengangkutan.
Media tempatan melaporkan, hal ini adalah susulan dari pembukaan semula sektor ekonomi dan kebenaran rentas negeri bermula 11 Oktober lalu.
Peningkatan harga alat ganti ini pastinya menggusarkan pemilik bengkel kenderaan yang terpaksa menaikkan harga perkhidmatan mereka. Terdapat juga kemungkinan pengurangan pelanggan jika kenaikan harga servis terlalu mendadak.
Secara tidak langsung, ini pastinya memberi kesan kepada pemilik kenderaan kerana kos selenggara akan bertambah.
Pakar ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bardai berkata, sikap pengguna yang tidak bersatu akan menjadi mangsa kepada peniaga yang mengambil kesempatan berhubung isu kenaikan harga barangan.
Justeru, beliau berkata, para pengguna boleh mengambil tindakan menerusi kaedah bertukar maklumat serta memulakan boikot ke atas peniaga yang membuat ekspoitasi harga barangan.
"Itu perlukan masa panjang untuk mendidik budaya kepenggunaan," katanya kepada Majoriti.
Mengulas lanjut, Barjoyai berkata, ekonomi di negara ini dikenali sebagai ekonomi pasaran yang mana peniaga bebas meletakkan apa sahaja harga yang mereka kehendaki.
Manakala, katanya, pengguna perlu membuat pertimbangan sama ada harga barangan yang dikenakan oleh peniaga sesuai atau tidak sebelum mereka boleh membuat keputusan.
Pada masa sama, beliau berkata, terdapat kes yang mana pengguna terdesak akan pergi ke premis servis kereta dan menyerahkan segalanya kepada premis itu.
Barjoyai berkata, sikap pengguna yang tidak bersatu akan menjadi mangsa kepada peniaga yang mengambil kesempatan berhubung isu kenaikan harga barangan.
"Jadi, workshop (bengkel) pun ambil peluang kerana telah lama tutup setahun misalnya akibat PKP (Perintah Kawalan Pergerakan). Jadi, mereka akan recover balik kerugiannya untuk tempoh setahun itu," katanya.
Dalam perkembangan lain, Barjoyai berkata, antara risiko pembelian barangan dari platform atas talian adalah menentukan keasliannya atau mengenal pasti sama ada barangan berkenaan boleh diperbaiki sesuai dengan keperluannya.
Beliau berkata, risiko-risiko terbabit perlu dipertimbangkan sama ada ia berbaloi berbanding dengan kenaikan harga barangan yang ditetapkan.
Tambahnya, pengguna pada hari ini sudah meningkatkan keyakinan dan sentimen lebih baik untuk berbelanja.
"Jadi, mungkin kalau kita berani menanggung risiko, kita beli daripada platform atas talian, harganya mungkin tak sampai separuh kalau kita terima barang, tetapi sekiranya barangan itu tidak bertepatan (seperti kita kehendaki), kita akan kerugian.
"Kecuali kalau Shopee misalnya, kita boleh buat pembayaran melalui COD (cash on delivery), tapi COD pun sama ada kita boleh buka dahulu kotak dan pastikan barangan itu menepati keperluan pun akan jadi satu isu," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram