'Orang buat troll harga barang naik sebab tak nampak fungsi menteri'


KPDNHEP sebelum ini menafikan kenaikan harga sayur-sayuran sehingga 200 peratus. — The Star

KENAIKAN pelbagai harga barang mentah dan barang makanan sudah tentu menggusarkan pelbagai pihak, sekali gus memberi kesan kepada para pengguna dan peniaga.

Antara harga barangan yang mengalami kenaikan termasuk ikan, ayam dan sayur-sayuran.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesahkan, kenaikan harga sayur-sayuran di pasaran tempatan ketika ini ada kaitan dengan peningkatan harga baja dan racun di pasaran dunia.

Pada masa sama, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menafikan pihaknya menggesa pengguna di negara ini untuk memakan itik sementara kerajaan mengkaji kenaikan harga ayam, susulan sekeping gambar berhubung perkara itu tular di media sosial.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu menegaskan, beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti itu yang tidak sensitif dan seperti mempersendakan rakyat yang sedang dalam kesusahan.

"Jadi, KPDNHEP telah membuat laporan polis mengenai isu ini dan saya kesal dengan perbuatan fitnah sebegini. Kalau terdesak pun, jangan lakukannya," katanya.

Mengulas mengenai perkara itu di laman Facebook, Ali Muda atau lebih dikenali Abu Mishkat mendakwa, beliau pada pagi tadi mendengar berita bahawa kementerian terbabit mahu menyaman pihak yang membuat poster berkaitan berhubung perkara itu.

Tidak hairan dengan perkara itu, beliau berkata, terpulang kepada menteri terbabit sekiranya menganggap tindakan saman itu adalah perkara terbaik untuk rakyat dan negara.

"Saya rasa ada orang buat troll itu sebab selama ini rakyat tak kenal dan tak nampak fungsi menteri pun.

"Pasal isu harga sayuran naik sampai 200 peratus pun, macam tak tahu nak buat apa je.

"Setakat panggil tiga kementerian meeting (mesyuarat) dan buat kenyataan tentang sebab-sebab kenaikan harga barang tu, baik tak payah jadi kerajaan dan tak payah jadi menterilah. Semua orang tahulah sebab-sebab kenaikan tu," katanya yang juga bekas pegawai tugas-tugas khas Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Pada masa sama, Abu Mushkat berkata, menteri atau kerajaan sepatutnya membawa perkara itu ke Kabinet untuk meluluskan subsidi bagi menstabilkan harga sayur-sayuran.

"Bukan beritahu baja dan racun naik harga dan segala sebab mak nenek seperti di dalam poster.

"Kenapa, subsidi atau tambah subsidi harga sayur tak boleh ke? Tukar kereta mewah boleh pula?" soalnya sinis.

Sebelum ini, KPDNHEP mendapati harga sayur dikatakan meningkat hingga 200 peratus tidak berlaku seperti didakwa Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Selasa lepas.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, hasil siasatan pegawai penguat kuasa kementerian turut mendapati persatuan itu tidak dapat menentukan lokasi berlaku kenaikan harga itu.

Faktor kenaikan harga barang

Menerusi sebuah poster, KPDNHEP menjelaskan antara faktor yang menyumbang kepada kenaikan harga barang dan kos sara hidup termasuk permintaan dan penawaran yang tidak selari, kegiatan manipulasi oleh orang tengah, peningkatan kos pengeluaran dan peningkatan kos logistik pengangkutan.

Selain itu, KPDNHEP berkata, faktor lain termasuk sikap peniaga yang tamak dan mementingkan keuntungan, kegiatan kartel dan monopoli, kos pengimportan yang tinggi terutamanya bagi bahan makanan, peningkatan harga minyak mentah dunia terutamanya petroleum serta kejatuhan nilai mata wang Ringgit Malaysia berbanding mata wang utama dunia.

Poster berkenaan disusuli dengan tanda pagar #Penggunabijak #Tahuhak dan #Beranibertindak.

260491787_5509736699038648_6749054641585129542_n

Poster faktor penyumbang kenaikan harga barang oleh KPNHEP.

Mempertikaikan tanda pagar itu, pengguna Facebook, Ahmad Abdullah berkata: "Kalau semua nak harapkan rakyat yang bertindak baik tak ada menteri dan kementerian."

template (2)

Tangkap layar komen netizen di laman Facebook.

Md Hissam pula berkata, dia tidak mahu mengambil tahu mengenai faktor kenaikan harga barang, sebaliknya hanya mahu mengetahui tindakan oleh pihak berwajib untuk mengawal harga barangan.

"Aku pun boleh jadi menteri kalau macam ni," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

harga barang, KPDNHEP, Abu Mishkat, sayur, ikan, ayam