'Industri pertanian tempatan kurang produktif antara punca barang naik'


  • Massa
  • Jumaat, 26 Nov 2021

PERSATUAN pengguna mendakwa berlaku kenaikan harga sayuran sehingga 200 peratus.
ISU kenaikan barang sekali lagi menjadi bualan rakyat apabila persatuan pengguna mendakwa harga sayur meningkat sehingga 200 peratus.

Pada Selasa, Presiden Peratuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Mohideen Abdul Kader berkata, lapan jenis sayuran yang mengalami kenaikan harga adalah kubis bunga, sawi pendek, sawi, brokoli, kacang buncis, kubis, cili merah dan cili hijau.

Susulan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang berkata faktor cuaca termasuk hujan tidak menentu serta kerosakan tanaman petani di Cameron Highlands, menyebabkan bekalan sayur-sayuran di pasaran berkurangan hingga menyumbang kepada kenaikan harga.

Malah kementerian itu, bekalan sayur import turut berkurangan kerana negara pengeluar mengalami musim sejuk melampau.

Namun bagi Pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakauanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Saizal Pinjaman berkata antara faktor lain kenaikan harga barang disebabkan industri pertanian tempatan yang kurang produktif dan banyak bergantung kepada buruh dari luar negara menjejaskan lagi ekonomi negara.

Katanya keadaan itu diburukkan lagi dengan penutupan sempadan antarabangsa dan polisi yang berkaitan dalam mengekang penularan wabak Covid-19.

"Kemasukan tenaga buruh dari luar negara tersekat dan menyebabkan pengeluaran hasil pertanian tempatan merudum dan tidak mampu memenuhi permintaan dalam negara yang sebelum ini diperolehi secara import," jelasnya kepada Majoriti.

Selain itu, Saizal juga berkata kenaikan harga barangan di pasaran juga dikaitkan dengan kenaikan harga bahan mentah seperti gula, tepung dan minyak masak yang mana menyebabkan harga makanan dan minuman meningkat.

Beliau merujuk kepada kenaikan harga roti kegemaran ramai, Gardenia yang akan berubah harga pada bulan depan.

Bagi sektor pertanian dan penternakan katanya, peningkatan harga baja, bahan kimia serta makanan haiwan ternakan juga telah menyebabkan kos pengeluaran meningkat naik.

Ini katanya menyebabkan harga keluaran pertanian dan penternakan seperi ayam, ikan sangkar dan sayuran tempatan semakin mahal.

"Punca kenaikan harga makanan turut disumbangkan oleh ketidakkecekapan mengawal rantaian bekalan makanan.

"Sebagai contoh, produk pertanian yang dikeluarkan di Cameron Highland akan dihantar ke Kuala Lumpur sebelum ianya diedarkan ke kawasan lain, antaranya Johor dan Negeri Sembilan, menyebabkan berlakunya pertambahan kos dari segi pengangkutan," jelasnya.

Tambah Saizal, kenaikan harga barang juga dikaitkan akibat perubahan cuaca yang tidak menentu seperti hujan berterusan yang membanjiri beberapa kawasan pertanian dalam negara sekali gus menyebabkan kerosakan tanaman.

Selain itu katanya, cuaca yang kurang baik pula menyebabkan jumlah hasil tangkapan nelayan berkurang dan menyebabkan bekalan hasil laut rendah.

3a20d6fa-2147-4785-98be-5a4c2d378fc7
Dr Saizal Pinjaman


Bagi menyelesaikan isu tersebut, Saizal mencadangkan pelan jangka masa pendek dan panjang.

Katanya, antara inisiatif jangka pendek yang boleh dilakukan dalam memastikan harga barangan pada tahap munasabah adalah dengan memastikan bekalan sentiasa dalam tahap yang memadai dan mampu untuk memenuhi permintaan pasaran termasuklah mengimport lebih banyak barang yang kurang di pasaran.

Bagi insiatif jangka panjang pula, usaha perlu dilakukan untuk memperbaiki rantaian bekalan barangan untuk memastikan ianya sampai ke tangan pengguna pada harga yang rendah.

"Pelbagai lapisan orang tengah bagi produk pertanian perlu dikurangkan untuk mengelakkan perletakan harga keterlaluan di samping memperbaiki sistem pengangkutan darat dan sungai bagi memudahkan dan mempercepatkan penghantaran barangan ke pasaran," kata Saizal.

Saizal turut mencadangkan, pengusaha tempatan perlu diberi galakkan untuk menggunakan buruh tempatan dan memperbaiki sistem pengeluaran melalui penggunaan teknologi moden bagi meningkatkan produktiviti.

"Dengan peningkatan persaingan penggunaan tanah bagi tujuan perusahaan lain, penggunaan kaedah moden dalam pengeluaran dapat memastikan pengeluaran bahan berasaskan pertanian dapat memenuhi permintaan tempatan dan mungkin juga bagi tujuan eksport," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram