Statistik jenayah menurun, aduan jenayah siber meningkat


  • 112
  • Khamis, 25 Nov 2021

Mohd Uzir memberitahu punca penurunan kes jenayah adalah disebabkan sekatan aktiviti sosial dan rentas sempadan daerah dan negeri berikutan PKP.— The Star

JABATAN Perangkaan Malaysia memaklumkan bahawa dua kategori kes jenayah untuk tahun 2020 di Malaysia direkodkan menurun kepada 21.4 peratus kepada 65,623 kes berbanding 83,456 kes pada 2019.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, kes jenayah tersebut terdiri daripada jenayah kekerasan dan jenayah harta benda.

"Kedua-dua jenis jenayah ini menunjukkan penurunan pada 2020 dengan jenayah kekerasan merekodkan penurunan 19.5 peratus pada 2020 kepada 13,279 kes, manakala jenayah harta benda pula menurun 21.8 peratus kepada 52,344 kes pada tempoh sama.

"Antara punca penurunan kes jenayah adalah disebabkan sekatan aktiviti sosial dan rentas sempadan daerah dan negeri berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah membataskan pergerakan individu.," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan berhubung penerbitan Statistik Jenayah, Malaysia, 2021 pada Khamis.

Tambah beliau lagi, selain itu, penurunan itu berlaku susulan aktiviti penguatkuasaan yang lebih ketat oleh pihak berkuasa dan kesedaran masyarakat dalam mempertingkatkan perlindungan daripada ancaman jenayah.

Mengulas lanjut berhubung statistik itu, Mohd Uzir memberitahu, untuk jenayah kekerasan mengikut daerah pentadbiran, Seremban, Negeri Sembilan merekodkan peratusan penurunan tertinggi pada 2020 iaitu 40.6 peratus kepada 326 kes berbanding 549 kes pada tahun sebelumnya.

"Ini diikuti Johor Bahru,-36.7 peratus dan Melaka Tengah -26.3 peratus," jelasnya

Katanya lagi, bagi jenayah harta benda pula, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang mencatatkan penurunan tertinggi iaitu 35.8 peratus pada 2020 kepada 982 kes berbanding 1,529 kes pada 2019.

"Melaka Tengah menyusul dengan rekod kedua tertinggi iaitu -32.6 peratus dan Kuala Muda dengan -29.4 peratus," ujarnya.

Sementara itu, untuk kategori lain, statistik jenayah siber pula menunjukkan bilangan kes aduan yang diterima oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada 2020 meningkat 99.5 peratus kepada 20,805 aduan berbanding tahun 2019 (10,426 aduan)

“Antara aduan yang diterima adalah elemen lucah, palsu, jelik, sumbang dan mengancam.

"Kesemua elemen aduan mencatatkan peningkatan pada 2020. Peningkatan aduan tertinggi adalah bagi elemen palsu iaitu 17.6 peratus (6,637 aduan) berbanding 2019 (3,050 aduan),” kongsinya.

Katanya lagi, bilangan penagih dadah pula menurun 20.8 peratus kepada 20,643 orang pada 2020 berbanding 26,080 orang pada 2019.

Hurainya lagi, ia dapat dilihat bilangan penagih dadah yang ditangkap menurun di semua negeri kecuali Johor, Terengganu, W.P. Kuala Lumpur dan Melaka.

"Bilangan tertinggi penagih dadah yang ditangkap pada 2020 direkodkan di negeri Johor dengan 2,564 orang, diikuti Kedah (2,372 orang) dan Kelantan (2,271 orang).

"Di Johor, bilangan penagih dadah yang ditangkap meningkat pada 2020 namun begitu, di Kedah dan Kelantan menurun pada 2020 berbanding 2019,” ujarnya.

Sementara itu, bagi aspek pemulihan, bilangan kemasukan banduan sabitan menurun sebanyak 26.1 peratus pada tahun 2020 dengan 102,045 orang berbanding 2019 (138,044 orang).

Kongsinya lagi, semua negeri merekodkan penurunan bilangan kemasukan banduan sabitan kecuali Sarawak dan Perlis masing-masing merekodkan peningkatan iaitu 9.2 peratus dan 4.9 peratus.

"Selangor merekodkan bilangan kemasukan banduan sabitan tertinggi iaitu 25,776 orang diikuti Johor (12,158 orang) dan Perak (8,558 orang).

"Bagaimanapun, bilangannya menurun berbanding tahun 2019. Komposisi mengikut etnik pula menunjukkan Bumiputera sebanyak 69.7 peratus, India (11.5 peratus), Cina (8.4 peratus) dan Lain-lain (10.4 peratus)," katanya.

Berkongsi untuk kesalahan trafik pula, bilangan saman trafik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2020 meningkat 4.9 peratus kepada 5.3 juta saman berbanding 2019 (5 juta saman).

Jelasnya, saman yang dikeluarkan secara postal atau diletak pada kenderaan meningkat 11.3 peratus kepada 3.4 juta saman manakala saman yang dikeluarkan secara langsung kepada pesalah trafik mencatatkan penurunan 5.3 peratus kepada 1.8 juta saman.

"Secara keseluruhan situasi jenayah pada tahun 2020 merekodkan mereka yang terlibat dengan jenayah adalah lelaki.

"Peratus penagih dadah lelaki 95.3 peratus, bagi tangkapan kesalahan rasuah lelaki 84.6 peratus, kanak-kanak lelaki yang terlibat dengan jenayah 90.5 peratus dan peratus kemasukan banduan sabitan bagi lelaki 90.3 peratus," tambahnya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram