Kecoh 'seller' Shopee guna kertas mengandungi ayat al-Quran pada bungkusan


  • Tular
  • Jumaat, 26 Nov 2021

KERTAS yang digunakan untuk mencetak alamat pembeli yang mengandungi ayat-ayat Al-Quran. — Twitter

KECOH baru-baru ini apabila seorang penjual di laman e-dagang, Shopee menggunakan helaian kertas yang mengandungi ayat Al-Quran pada bungkusannya.

Menerusi satu ciapan pengguna Twitter @akmalmalmol, jelas tertera petikan ayat-ayat dari Surah Yaasin pada kertas yang digunakan untuk mencetak alamat pembeli.

Dia menggesa orang ramai supaya melaporkan penjual tersebut kepada pihak Shopee kerana didakwa tidak menghormati sensitiviti agama.

"Report geng. Ni dah tahap kurang ajar," ciapnya pada Rabu.

Shopee quran blurred-2

Ciapan daripada pengguna Twitter @akmalmalmol yang tular baru-baru ini. — Twitter

Menerusi balasan kepada ciapan berkenaan, seorang pengguna Twitter, @buttrisyia mengambil inisiatif untuk menghubungi penjual tersebut bagi mendapatkan kepastian dan penjelasan daripada pihaknya.

Penjual tersebut menjelaskan, perkara itu terjadi berikutan kesilapan salah seorang pekerjanya ketika proses pembungkusan.

Pihaknya juga sudah menghubungi pembeli berkenaan untuk menjelaskan perkara itu dan meminta maaf atas kejadian tersebut.

Tambahnya, pihaknya kesal dengan apa yang terjadi dan sudah mengambil tindakan dengan memberhentikan pekerja terbabit.

"Saya dah siasat dan telah pecat pekerja tersebut, sebab dulu saya dah beritahu sila check betul-betul semua scrap paper sekiranya mengandungi sebarang unsur agama atau pun maklumat peribadi.

"Saya mohon maaf dan saya memahami isu ini amat sensitif sebab melibatkan agama dan saya juga memandang serius perkara ini," kata penjual itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

shopee, penjual, pembeli, Al-Quran, kertas, cetakan, ayat