Dua penjenayah langgar sebelum larikan SUV Mitsubishi di Kepong


  • 112
  • Jumaat, 26 Nov 2021

MANGSA turut kehilangan barangan peribadi yang tertinggal di dalam kenderaan. — Facebook

SEORANG lelaki terpaksa berputih mata selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) miliknya dilarikan dua penjenayah dalam satu kejadian di Jalan Besar Kepong, Kepong, Kuala Lumpur pada Khamis.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 11.20 malam itu, kenderaan mangsa dilanggar dua penjenayah berkenaan sebelum dilarikan di lokasi kejadian.

Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, semasa kejadian mangsa berumur 25 tahun memandu sebuah SUV jenis Mitsubishi ASX sendirian.

"Ketika di lokasi kejadian, kedua-dua suspek yang juga menaiki sebuah kenderaan lain bertindak melanggar mangsa dari arah belakang.

"Mangsa kemudian berhenti dan keluar untuk memeriksa kenderaannya sebelum dia diserang oleh salah seorang suspek," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah Eng Lai lagi, mangsa ditumbuk di mata kiri dan kepala mangsa sebanyak dua kali menyebabkan dia terjatuh di atas jalan.

Katanya lagi, seorang lagi suspek kemudian bertindak melarikan kenderaan milik mangsa.

"Suspek melarikan kenderaan mangsa yang merupakan kereta SUV jenis Mitsubishi Asx berwarna putih, nombor pendaftaran BNT 3666.

"Selain itu, beberapa barangan peribadi milik mangsa yang tertinggal di dalam kenderaan tersebut turut dilarikan suspek," ujarnya.

Jelasnya lagi, mangsa dibantu oleh orang awam yang kebetulan melalui jalan tersebut.

"Mangsa dihantar ke Hospital Desa Park City Kepong untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Pihak polis kini giat mengesan suspek serta kenderaan yang telah dilarikan. Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan," tambahnya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

PDRM, Beh Eng Lai, Mitsubishi Asx, langgar, curi