ISU tambak laut dan korek pasir yang menjadi rungutan golongan nelayan di Melaka sebelum ini sudah beberapa kali dilaporkan media namun seolah-olah tiada tindakan tegas yang diambil.
Malah, isu yang sebenarnya serius buat alam sekitar dan masyarakat dijadikan sebagai bahan politik untuk meraih sokongan rakyat sahaja.
Peguam, Datuk Mohd Azwan Mohd Roslee berkata, penguatkuasaan yang ketat amat diperlukan untuk mengelak sebarang perkara tidak diingini berlaku.
"Memang perlu ada penguatkuasaan yang kerap untuk memastikan tiada berlakunya aktiviti curi pasir sebab hanya pihak berwajib yang tahu berkenaan sama ada aktiviti itu dilakukan secara sah atau tidak.
"Jangan sampai isu pasir ini jadi seperti kartel daging yang dilaporkan sebelum ini. Ketika itu lagi susah nak bertindak. Sebab itu pemantauan segera dan kerap perlu dilakukan," katanya kepada Majoriti.
Ditanya berkenaan dengan isu tambak laut yang dijadikan bahan politik sesetengah pihak untuk meraih undi dan sokongan rakyat, Mohd Azwan berharap supaya perkara itu tidak sekadar untuk kepentingan peribadi sahaja.
Jelasnya, isu berkenaan adalah sesuatu yang akan memberi kesan kepada masyarakat kerana adalah hal alam sekitar.
"Kalau perlombongan pasir dipercayai secara haram ini diteruskan, bayangkan kesannya seperti banjir besar dan tanah runtuh," tegas beliau. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram