Pelajar perempuan 13 tahun nyaris jadi mangsa culik di Taman Molek


  • 112
  • Khamis, 25 Nov 2021

POLIS berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 6.50 pagi ketika pelajar itu baru turun daripada van sekolah.

SEORANG pelajar perempuan berusia 13 tahun nyaris menjadi mangsa culik dan berjaya melarikan diri selepas cuba dibawa lari seorang lelaki yang menaiki Perodua Kancil di hadapan sekolahnya di Taman Molek, Johor Jaya di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 6.50 pagi ketika pelajar itu baru turun daripada van sekolah.

"Pelajar itu menyatakan selepas turun daripada van, sebuah kereta dipandu lelaki tempatan tidak dikenali, datang kepadanya serta meminta dia menghantar satu borang ke sekolah, dan lelaki itu meminta pelajar berkenaan masuk ke dalam kereta, namun dia enggan.

"Kemudian mangsa ditarik masuk ke dalam kereta dan dibawa lari di sekitar Taman Molek kira-kira 400 meter dari lokasi kejadian, sebelum pelajar itu berjaya melepaskan diri,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata pelajar itu kemudiannya meminta bantuan orang awam, dan polis sedang giat berusaha mengesan lelaki berkenaan.

Mohd Sohaimi berkata kes sedang disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melarikan orang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram