P. Pinang kata tak mampu bayar air mentah, hasil tak banyak - MB Kedah


  • Primer
  • Khamis, 25 Nov 2021

Muhammad Sanusi berkesempatan bertemu Kon Yeow di Istana Negara pada Rabu. — Facebook

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Haji Muhammad Sanusi bin Md Nor bingung dengan jawapan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berhubung isu tuntuan caj air mentah antara kedua-dua negeri berkenaan.

Bertemu di Istana Negara, Kuala Lumpur pada Rabu, Muhammad Sanusi memberitahu dia bertanya tentang perkara itu secara berdepan dan berterus terang dengan Kon Yeow.

Katanya, beliau sukar untuk menghadam jawapan Kon Yeow yang mengatakan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang tidak mampu memenuhi tuntutan berkenaan kerana mereka tidak mempunyai hasil yang banyak.

"Saya ambil kesempatan pertemuan di Istana Negara malam tadi untuk bertanya kepada YAB Ketua Menteri Pulau Pinang secara berdepan dan berterus terang tentang bayaran air mentah kepada Kedah.

"Jawapan Ketua Menteri Pulau Pinang kepada saya, 'Penang tidak mampu membayarnya, hasil kami tidak banyak'," katanya.

Beliau berkongsi tentang perkara itu di akaun rasmi laman sosial Facebook pada Khamis.

Tambah beliau lagi, dia sukar untuk menghadam alasan itu kerana Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBA) menjana pendapatan dan keuntungan daripada industri bekalan air kepada sektor industri, perkapalan dan domestik.

Jelasnya lagi, tuntutan bayaran air mentah ini adalah untuk negeri dan rakyat Kedah, menuntut hak yang wajar dan munasabah daripada pengorbanan Kedah menyimpan kawasan tadahan ratusan ribu hektar.

"Di kawasan tadahan itulah mengalirnya sungai-sungai membekalkan air mentah untuk minuman dan kawasan pertanian makanan untuk Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.

"Sukar sekali menghadamkan jawapan beliau kerana semua orang tahu PBA menjana pendapatan dan keuntungan yang banyak daripada industri bekalan air kepada sektor industri, perkapalan dan domestik, daripada air mentah yang berpunca dari Kedah," kongsinya lagi.

Isu tuntutan bayaran sumber air mentah antara Kedah dan Pulau Pinag sudah berlarutan sejak 2010.

Kedah sebelum ini memberi amaran kemungkinan Pulau Pinang tidak lagi menerima bekalan air Sungai Muda, sekiranya terus membuat pelbagai helah bagi mengelak membayar caj air mentah dari negeri itu.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram