DUA calon jelitawan muda dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) gagal menambat hati rakyat di kawasan masing-masing selepas tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 pada Sabtu.
Calon tersebut, Cherishe Ng, 24, dan Olivia Lim Wen Sia, 24, menjadi calon paling muda yang bertanding bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Lintang dan Nangka.
Cherishe tewas dalam pertandingan lima penjuru yang menyaksikan See Chee How dari Parti Sarawak Bersatu (PSB) menang tipis dengan jumlah 4,420 undi.
Dia dicabar calon veteran, Sih Hua Tong (Parti Bersatu Rakyat Sarawak) (SUPP) yang meraih 4,327 undi. Seorang lagi calon muka lama, Voon Lee Shan (Parti Bumi Kenyalang) (PBK) memperoleh 1,570 undi dan calon muka baharu, Alex Leong (Parti Aspirasi Rakyat Sarawak) (Aspirasi) (187 undi).
Sementara itu, Olivia pula tewas kepada penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka, Dr Annuar Rapaee yang menang besar dengan 12,059 undi meninggalkannya jauh ke belakang selepas hanya mampu meraih 1,027 undi.
Calon PSB, Intanurazean Wan Sapuan Daud pula memperoleh 1,255 undi.
Sebagai rekod pada PRN-11, Dr Annuar berjaya mempertahankan kerusi DUN Nangka dengan majoriti 7,617 undian mengalahkan calon PKR, Abdul Raafidin Majidi dan Calon STAR Simon Tiong.
Annuar juga merupakan Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram