KERAJAAN disyorkan supaya memperkenalkan harga siling bagi setiap barang keperluan bagi mengurangkan beban rakyat yang terkesan dengan teruk akibat dari penutupan sektor ekonomi dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu.
Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF), Profesor Madya Dr Baharom Abdul Hamid berkata, masalah kenaikan harga barang boleh dikawal jika kerajaan komited memainkan peranan untuk sentiasa membuat pemantauan terhadap harga barangan secara berkala.
"Jika perlu, pihak kerajaan boleh memperkenalkan harga siling untuk barangan keperluan seperti makanan kerana ia akan memberi kesan yang besar kepada rakyat terutamanya golongan B40 yang sudah terkesan teruk akibat pandemik," katanya kepada Majoriti.
Baharom juga menambah, pihak kerajaan perlu memperuntukkan jumlah yang besar untuk perbelanjaan dapur dan penyediaan makanan bagi membantu rakyat.
Profesor Madya Dr Baharom Abdul Hamid
Sementara itu, mengulas isu adakah semua barang naik adalah atas alasan para peniaga ini mengalami kerugian sepanjang musim PKP, beliau berpendapat punca kenaikan harga barang ini disumbang oleh dua perubahan ketara, yang pertama kerana berlakunya kenaikan mendadak dalam permintaan akibat kegiatan ekonomi yang dibuka kembali secara meluas.
"Punca kedua pula disebabkan berlaku pengurangan di dalam penawaran. Ia terjadi akibat dari kekurangan dalam tenaga kerja dan sumber bahan mentah dan terus menjadikannya 'double trouble' iaitu kenaikan ketara di dalam harga barang.
"'Double trouble' ini akan terhasil disebabkan peningkatan dalam permintaan dan pengurangan dalam penawaran bagi urusan ekonomi.
"Jadi, kenaikan harga barang yang berlaku sekarang agak ketara di dalam beberapa barangan keperluan harian seperti makanan, sayuran dan lain-lain lagi," katanya.
Kenaikan harga sayuran yang dilaporkan CAP
Pada Selasa, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) melaporkan harga beberapa jenis sayur-sayuran di negeri itu mengalami kenaikan sebanyak 40 hingga 200 peratus dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram