Mohd Radzi nafi keluar kenyataan akan hukum guru berleter


  • Primer
  • Selasa, 23 Nov 2021

MOHD Radzi mahu orang ramai menyemak kesahihan berita sebelum menyebarkannya. — Bernama

MENTERI Kanan Pendidikan, Datuk Mohd Radzi Md Jidin menafikan pihaknya mengeluarkan kenyataan berhubung hukuman terhadap guru yang 'berleter atau mengkritik' murid.

Menurut Mohd Radzi menerusi perkongsian di Facebook pada Selasa, beliau juga menafikan bentuk-bentuk hukuman yang dilarang, yang tular di media sosial.

"Saya kongsikan kenyataan media Kementerian Pendidikan (KPM) berhubung laporan portal berita bertajuk 'Gempar!!! Bermula esok, guru boleh dihukum sekiranya berleter terhadap murid'.

"Saya langsung tidak pernah membuat kenyataan sedemikian. Portal itu meletakkan gambar saya seolah-olah saya yang keluarkan kenyataan tersebut.

"KPM juga tidak pernah mengeluarkan jadual bertajuk 'Unit Disiplin KPM: Bentuk-bentuk Hukuman Yang Dilarang' dalam mana-mana dokumen rasmi KPM. Semak kesahihan sesuatu berita sebelum menyebarkannya," katanya.

Sementara itu, menerusi satu kenyataan penafian yang dikeluarkan pada Selasa, KPM memaklumkan terdapat enam tatacara pengurusan disiplin yang dikeluarkan oleh KPM.

i. Peraturan-Peraturan Pendidikan (Disiplin Sekolah) 1959;

ii. Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bil. 8/1983: Mengenakan Hukuman Biasa Terhadap Murid-murid yang Melakukan Perbuatan Salah Laku Yang Tidak Dinyatakan Dalam Peraturan-peraturan Pelajaran;

iii. SPI Bil. 7/1995: Tatacara Mengenakan Tindakan dan Hukuman Terhadap Pelajar-Pelajar Sekolah;

iv. SPI Bil. 10/2001: Semua Guru Adalah Guru Disiplin;

v. SPI Bil. 7/2003: Kuasa Guru Merotan Murid; dan

vi. SPI Bil. 7 Tahun 2011: Pelaksanaan Standard Operating Procedure (SOP) 1:3:7 Pelaporan dan Tindakan Menangani Isu Disiplin.

"KPM menegaskan bahawa tatacara pengurusan disiplin murid adalah berdasarkan Garis Panduan dan SPI yang dinyatakan di atas," ujar kenyataan berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Mohd Radzi Md Jidin, KPM, guru, tatacara, disiplin