Kes guru diasing di stor kerana belum divaksin, sudah dilapor kepada kementerian


  • Primer
  • Rabu, 24 Nov 2021

TANGKAP layar video TikTok seorang guru mendakwa diasingkan pihak sekolah dalam stor tukang cuci, manakala satu lagi video menunjukkan guru diasingkan dalam sebuah bilik tepi tandas.

VIDEO tular seorang lelaki yang mendakwa sebagai guru diasingkan di sebuah bilik simpanan stor tukang cuci oleh pihak sekolah di Ipoh, Perak kerana belum menerima vaksin Covid-19 telah dilaporkan kepada Kementerian Pendidikan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, tindakan itu berdasarkan hasil siasatan penuh dan terperinci oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak.

"Saya sudah sedia maklum kes tersebut dan telah mendapat maklum daripada pihak JPN.

"Laporan penuh akan dimaklumkan dalam masa terdekat oleh pihak Kementerian Pendidikan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Video berdurasi lebih seminit itu dimuat naik menerusi aplikasi TikTok beberapa hari lepas dan sehingga kini sudah mencecah 1.4 juta tontonan.

Dalam rakaman itu, lelaki berkenaan meluahkan rasa kesal atas layanan yang diberi dan mendakwa pada mulanya dia ditempatkan di stor pendidikan jasmani namun ditukarkan ke stor tukang cuci yang berdindingkan zink dengan alasan ia merupakan kawasan laluan dan mempunyai banyak peralatan sukan.

Lelaki itu juga mendakwa, bilik stor tukang cuci itu hanya mempunyai meja dan kipas namun tidak mempunyai kerusi serta palam untuk menggunakan komputer riba dan sebagainya.

Bagaimanapun Ahmad Saidi berkata, kerajaan negeri mengambil serius perkara itu yang melibatkan pelbagai aspek kesihatan dan kebajikan para guru.

"Pihak kerajaan negeri ingin memastikan kesemua pihak sama ada guru, pelajar dan ibu bapa berada dalam keadaan sihat," katanya.

Pada 9 November lepas, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad memaklumkan seramai 279 guru di negeri itu dikenal pasti menolak untuk menerima vaksin Covid-19. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Ahmad Saidi, vaksin, Covid-19, guru, sekolah, tular