BUDAYA "Tolong Jawab Semua untuk Saya" dalam kalangan pelajar merupakan suatu perkara yang perlu diambil perhatian sama ada di pihak guru mahu pun ibu bapa.
Perkara ini ditekankan oleh salah seorang pengguna laman sosial Facebook, BiBi Lim yang menyatakan kebimbangan terhadap sikap pelajar yang mengambil jalan mudah dalam menyiapkan tugasan.
Bibi yang merupakan seorang guru menjelaskan situasi yang berlaku apabila pelajar hanya bertanya dalam grup aplikasi permesejan Whatsapp bukan untuk mendapatkan pencerahan tetapi jawapan.
Katanya dalam satu hantaran pada Isnin, perkara itu dianggap sudah melampau kerana ada segelintir pelajar apabila ditegur menyalahkan pihak guru dan mendakwa itu sudah menjadi tugas mereka.
"Budaya "Please Help Me to Do", "Tolong Jawab Semua untuk Saya" semakin melampau dalam kalangan murid.
"Mereka malas memerah otak untuk mencari jawaban sendiri.
"Mereka mengambil jalan pintas untuk mendapatkan jawapan tanpa sebarang cubaan dalam media sosial," kongsinya.
Katanya lagi, pelajar juga mengambil jalan pintas dengan hanya menyalin dan mengaku hasil kerja orang lain sebagai titik peluh sendiri agar menyiapkan tugasan dengan cepat.
"Mereka tidak menyedari kesalahan sendiri dan hanya menyalahkan pihak lain apabila ditegur.
"Oh Tuhan, kuatkan semangat para pendidik dalam alam pendidikan ini. Sakit hati betul," tambahnya lagi.
Sementara itu, Bibi turut menjelaskan bahawa perkara itu berlaku dalam Grup Calon Pendidikan Moral ini ditubuhkan sejak tahun 2012.
Grup itu ditubuhkan secara sukarela untuk membimbing murid yang bakal menduduki mata pelajaran PM SPM.
Jelasnya, terdapat 4,000 calon yang berada di dalam grup tersebut.
"Saya selalu mengingatkan murid untuk mencuba dahulu sebelum bertanya supaya murid dapat sedar akan kelemahan sendiri.
"Memang saya sedia membimbing setiap murid yang mendahagakan tunjuk ajar. Cuma yang mengecewakan ialah murid ini hanya menghantar semua tugasan yang diberikan gurunya dan mengharapkan jawaban lengkap daripada saya untuk disalin," ujarnya.
Katanya lagi, dia menasihatikan supaya pelajar menuntut ilmu dengan cara yang betul akan tetapi murid tersebut tidak setuju.
Soalnya, sebagai guru, sekiranya mereka tidak menegur perkara itu, siapakah yang akan berbuat demikian?
"Banyak masa saya berkorban untuk mendidik anak murid walaupun tidak dikenali.
"Sebagai pendidik, kita bukan sahaja membimbing murid-murid dari segi akademik tetapi juga patut mengutamakan sahsiah dan adab. Lagi-lagilah mata pelajaran Pendidikan Moral. Maafkan saya sekiranya saya terlalu tegas dalam bab ini," jelasnya.
Dalam ruangan komen, ramai pengguna yang dipercayai golongan pendidik turut bersetuju dengan perkara yang diketengahkan Bibi.
Rata-rata mereka menyatakan ada pelajar seolah sudah terbiasa dengan perkara itu, malah mereka beranggqapan itu sudah menjadi tugas guru.
Ada juga yang meluahkan rasa kesal dengan sikap pelajar yang tidak menyiapkan tugasan atas alasan tekanan dan stress. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram