Wanita trauma diragut di depan rumah


  • Tular
  • Jumaat, 08 Okt 2021

TANGKAP layar kejadian ragut yang tular di Twitter sejak petang tadi. — Twitter

SATU kejadian ragut membabitkan dua orang lelaki yang dipercayai berlaku di sebuah taman perumahan di Selangor tular di media sosial pada Jumaat.

Kejadian tersebut berjaya dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di depan rumah mangsa.

Rakaman tersebut menunjukkan seorang lelaki berjalan menghampiri sebuah kereta yang diparkir di hadapan rumah mangsa sebelum meragut beg tangan milik wanita terbabit.

Ketika lelaki itu melakukan jenayah berkenaan, rakannya muncul menaiki motosikal dan mereka kemudian memecut laju melarikan diri meninggalkan mangsa yang cuba mengejar mereka dengan berlari.

Mengikut tarikh yang tertulis dalam rakaman tersebut, kejadian itu berlaku sekitar jam 7.19 malam pada Khamis.

Seorang pemuda yang mengaku sebagai rakan mangsa memuat naik rakaman CCTV tersebut di Twitter dan menyeru orang ramai supaya membantu rakannya itu menjejaki peragut.

"Tolong cari yang samun member aku semalam depan rumah, habis semua barang dia kena ragut!" kata pemuda itu.

Menurut pemuda itu lagi, lokasi terakhir peragut tersebut adalah di Kampung Raja Uda, Klang berdasarkan aplikasi penjejak yang terdapat di telefon bimbit yang turut dicuri.

Katanya, berdasarkan maklumat orang ramai dari WhatsApp, rakannya berjaya menjumpai sebahagian barangan yang dicuri ditinggalkan di sebuah longkang di lokasi sama.

Setakat ini, masih belum terdapat kenyataan daripada pihak polis mengenai insiden tersebut. — Majoriti

ragut, rakaman CCTV, kawasan perumahan