Caruman pengeluar i-Lestari, i-Citra, i-Sinar dikredit ke Akaun 1


  • Primer
  • Rabu, 24 Nov 2021

HANYA 27 peratus daripada ahli aktif yang berusia 18 hingga 55 tahun yang mempunyai simpanan asas iaitu RM240,000. — Bernama

SEMUA caruman baharu ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mengeluarkan simpanan melalui skim i-Lestari, i-Citra dan i-Sinar akan dikreditkan ke dalam Akaun 1 bagi membina semula simpanan mereka.

Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah berkata, pecahan caruman akan kembali kepada 70 peratus untuk Akaun 1 dan 30 peratus untuk Akaun 2.

"Berdasarkan statistik KWSP, hanya 27 peratus daripada ahli aktif yang berusia 18 hingga 55 tahun yang mempunyai simpanan asas iaitu RM240,000 selepas mengambil kira pengeluaran i-Sinar dan i-Citra.

"Angka ini menurun berbanding 30 peratus pada 31 Disember 2020.

"Justeru, dalam usaha menambah baik simpanan ahli yang mengeluarkan i-Sinar dan i-Citra, kerajaan telah meletakkan caruman baharu yang diterima ahli yang terlibat akan dikreditkan ke dalam Akaun 1 sepenuhnya sehingga keseluruhan jumlah pengeluaran Akaun 1 diganti semula," katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) mengenai pelan kerajaan untuk meningkatkan simpanan di Akaun 1 KWSP selepas kebenaran pengeluaran wang menerusi kesemua skim tersebut.

Beliau berkata perkara itu adalah membimbangkan, memandangkan majoriti ahli dijangka tidak mencukupi simpanan yang mencukupi bagi sekurang-kurangnya menampung keperluan asas kelak.

Sementara itu, beliau berkata, pengeluaran caruman yang berjumlah RM101 bilion melalui kesemua skim itu tidak akan menjejaskan pasaran kewangan domestik berikutan kedudukannya sebagai antara pemain terbesar dalam pasaran Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS).

"Malah, langkah seperti kaedah Alokasi Aset Strategik (SAA) sedang dilakukan bagi menampung segala pengeluaran yang dibuat sepanjang tempoh terbabit.

"Kerajaan juga akan terus meneliti kaedah-kaedah lain untuk memastikan Jaringan Keselamatan Sosial persaraan rakyat ini dapat kembali ke tahap yang sepatutnya,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram