TIMBALAN Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan mengakui kemenangan besar parti itu pada PRN Melaka baru-baru ini disumbang oleh peratusan keluar mengundi yang rendah.
Jelasnya, Umno berjaya memanfaatkan situasi yang disifatkan sebagai 'perfect storm' itu menjadi kelebihan buat mereka.
"Memang dalam ‘war room’ yang saya ketuai, saya kata, ‘threshold’ jumlah yang keluar mengundi mesti tidak lebih daripada 65 peratus.
“Kalau lebih daripada itu, Umno tak mungkin dapat menang kerusi yang banyak. Kalau 70 peratus (keluar mengundi), kurang kemenangan kita. Kalau 75 peratus, kita dalam masalah,” katanya ketika menjadi tetamu dalam rancangan Agenda Awani pada Selasa.
Tambah Mohamad, Umno juga menumpukan kepada strategi untuk meyakinkan pengundi 'in-situ' atau pengundi yang berada di Melaka supaya keluar mengundi dan tidak memanggil pengundi luar untuk pulang.
Selain itu, katanya, SOP ketat yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga membolehkan mereka memberi sepenuh perhatian kepada gerakan jentera, terus ke akar umbi.
“Memang kita jangkakan ramai orang tak balik (mengundi) dan memang kita tak memanggil orang balik seperti sebelum ini.
“Sebab itu saya yakin kita boleh menang 18 kerusi, yang lagi tiga itu kerusi dimenangi MCA dan MIC walaupun 50-50, tapi Alhamdulillah kita dapat 21 kerusi,” katanya.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), peratusan keluar mengundi pada PRN Melaka adalah sebanyak 326,068 atau 65.85 peratus daripada keseluruhan 495,195 pengundi berdaftar di Melaka. — Awani
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram