'Jadi pembangkang je, tak perlulah minta jawatan kerajaan'


  • Politik
  • Selasa, 23 Nov 2021

ISHAM berkata, BN mempunyai 21 Adun yang telah menang dan lebih layak untuk dilantik sebagai Exco dalam kerajaan negeri Melaka. — Malay Mail

PEMIMPIN-PEMIMPIN parti dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perikatan Nasional (PN) di Melaka tidak sepatutnya meminta jawatan Exco kerajaan negeri, tegas Isham Jalil.

Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor itu berkata, hal ini kerana mereka telah bertanding untuk melawan BN dalam pilihan raya.

Isham berkata, PN perlu menerima hakikat bahawa mereka telah kalah teruk di Melaka, selain tidak sepatutnya meminta jawatan dalam kerajaan.

"Sebaliknya, (mereka) perlu menjadi pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menyemak imbang kerajaan," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Selasa.

Tambahan pula, katanya, BN mempunyai 21 Adun yang telah menang dan lebih layak untuk dilantik sebagai Exco dalam kerajaan negeri.

"Jika pihak parti yang kalah pun ingin jadi kerajaan, jumlah pembangkang akan jadi lebih kecil atau tiada langsung dan ini tidak baik untuk demokrasi dan proses semak imbang.

"Saya harap kerajaan negeri tidak melayan permohonan mereka ini.

Terdahulu, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, kedudukan dua Adun PN dalam barisan Exco belum diputuskan.

Sulaiman berkata, perkara berkenaan perlu melalui perbincangan bersama pucuk kepemimpinan BN dengan mengambil kira senario parti itu yang bertanding secara solo dalam PRN Melaka.

Dua Adun PN yang menang dalam PRN adalah Dr Mohd Aleef Yusof di kerusi Dun Sungai Udang dan Dr Mohd Yadzil Yaakub (Bemban). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Isham Jalil, BN, PN, PRN Melaka