Laluan FT 059 Tapah-Cameron ditutup sementara akibat tanah runtuh


  • 112
  • Selasa, 23 Nov 2021

SEBAHAGIAN kejadian tanah runtuh yang berlaku di Cameron Highlands petang Isnin. — Facebook

LALUAN FT 059 Jalan Tapah - Cameron Highlands di Seksyen 62.65 akan ditutup sementara bermula pada Selasa bagi kerja-kerja kecemasan akibat tanah runtuh yang berlaku petang Isnin.

Menurut Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Cameron Highlands dalam satu kenyataan, laluan tersebut ditutup kepada semua kenderaan sehingga tempoh yang akan dimaklumkan kelak.

"Kerja-kerja kecemasan sedang giat dilaksanakan dan penutupan sementara laluan berkenaan adalah perlu demi keselamatan serta keselesaan pengguna pada masa hadapan.

"Pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya berhati-hati dan mematuhi arahan yang dikeluarkan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini," kata kenyataan itu.

Semalam, kejadian tanah runtuh berlaku di laluan di Batu 25 dan Batu 26 Jalan Tapah-Cameron Highlands menyebabkan laluan kedua-dua arah terhalang.

Ketua Polis Daerah Tapah Supt Wan Azharuddin Wan Ismail berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada orang awam pada 4.25 petang.

"Tiang elektrik juga tumbang dan laluan kedua-dua arah terhalang. Kejadian itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa atau kerosakan harta benda orang awam," kata Wan Azharuddin. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram