PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka tidak dapat dielakkan lagi susulan kemelut politik antara pemimpin parti kerajaan negeri.
Selepas seminggu desas-desus mengenai pergolakan politik dalam kerajaan Melaka, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada Isnin.
Sebelum ini, kerajaan Melaka pimpinan Barisan Nasional (BN) diwakili 17 ADUN yang terdiri daripada 14 ADUN UMNO, dua (Bersatu) dan satu Bebas, manakala pembangkang mempunyai 11 kerusi iaitu tujuh DAP, dua (PKR) dan dua (Amanah).
Berikut adalah kronologi perubahan kerajaan di Melaka sebelum berlakunya kemelut politik yang membawa kepada PRN.
9 Mei 2018 — Pakatan Harapan (PH) mengambil alih Melaka susulan kekalahan Barisan Nasional pada PRU14 dengan keputusan 15 kerusi, BN (13 kerusi) sekali gus melayakkan gabungan diterajui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) membentuk majoriti mudah.
11 Mei 2018 — Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Katil, Adly Zahari mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-11 menggantikan bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron dari BN.
23 Februari 2020 — Kerajaan Pusat yang diperintah PH tumbang beberapa hari selepas Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan dan disusuli Langkah Sheraton yang menyaksikan sejumlah ahli Parlimen bertukar arah dan membentuk kerajaan bersama BN dan PAS dengan gabungan dikenali sebagai Perikatan Nasional (PN).
9 Mac 2020 — Perkembangan di peringkat Persekutuan menyaksikan Melaka juga tumbang apabila Ketua Menteri ketika itu Adly Zahari kehilangan majoriti sokongan Adun yang bertindak menyokong PN. Datuk Seri Sulaiman Md Ali dari Umno kemudiannya dipilih sebagai Ketua Menteri baharu.
3 Oktober 2021 — Adun Sungai Udang dan bekas Ketua Menteri Melaka, Idris Haron yang dikaitkan dengan gerakan untuk menumbangkan kerajaan negeri Melaka menafikan pembabitannya. Beliau menyatakan tidak tahu mengapa namanya dikaitkan sedangkan secara peribadi beliau tidak mempunyai masalah dengan kepimpinan Sulaiman.
4 Oktober 2021 — Kerajaan Negeri Melaka tumbang ekoran penarikan sokongan oleh bekas Ketua Menteri, Idris Haron (Umno) dan tiga lagi Adun terhadap kerajaan pimpinan Sulaiman Md Ali. Tiga Adun terbabit adalah Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu -Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).
5 Oktober 2021 — Sulaiman, mengambil langkah membubarkan DUN mulai sehari sebelumnya (4 Oktober) selepas cadangan yang dikemukakannya mendapat kelulusan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam.
18 Oktober 2021 — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh PRN Melaka pada 20 November dengan hari penamaan calon pada 8 November.
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram