PRN Melaka: Terlalu awal bincang kerjasama tubuh kerajaan


  • Politik
  • Khamis, 18 Nov 2021

HARI mengundi bagi PRN Melaka adalah pada Sabtu ini. — Gambar hiasan/The Star

APABILA ada pihak menjangka tiada blok yang akan mendapat majoriti mudah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ini bagi membentuk kerajaan, atau disebut "DUN tergantung”, tumpuan biasanya terarah kepada sokongan yang akan diberikan oleh calon bebas sekiranya mereka menang di kawasan yang ditandingi nanti.

Datuk Ng Choon Koon yang bertanding bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban sebagai calon bebas bagaimanapun berkata, masih terlalu awal untuk membuat andaian berlakunya DUN tergantung.

"Fokus saya sekarang adalah terhadap pemilihan, kemudian baru kita akan pertimbangkan (kerjasama dengan gabungan politik). Jika apa-apa sekalipun, saya akan minta mandat daripada pengundi saya sebelum saya membuat sebarang keputusan tersebut," katanya.

Ng sebelum ini yang mewakili Barisan Nasional (BN) pernah diberikan mandat menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 kemudian diletakkan sebagai calon DUN Kesidang pada PRU14, namun tewas.

PRN Melaka kali ini menyaksikan Ng berdepan pertandingan lima penjuru iaitu calon Perikatan Nasional (PN) Dr Yadzil Yaakub, calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Tey Kok Kiew, calon BN Datuk Koh Chin Han dan Azmi Kamis (Bebas).

Sebelum ini Pengarah Pilihan Raya Negeri Melaka yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan parti gabungan itu terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi membentuk kerajaan, manakala Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin pula dipetik sebagai berkata sebarang bentuk kerjasama dengan mana-mana pihak sebaiknya biarlah diputuskan selepas pilihan raya.

Sementara itu, calon Bebas DUN Pengkalan Batu Datuk Norhizam Hassan Baktee yang juga penyandang di kawasan itu berkata, perkara paling penting adalah memenangi kerusi berkenaan sebelum beliau perlu membuat keputusan mengikut kepentingan rakyat.

Katanya, beliau juga tidak mahukan kerajaan tergantung akibat tiada gabungan politik yang berjaya mendapat majoriti dalam PRN Melaka.

"Saya tidak boleh mengikut kepentingan saya, saya tidak boleh ego, saya kena ikut kepentingan rakyat, mana mungkin kita nak biarkan kerajaan tergantung, kerana kalau kerajaan tergantung, bermakna saya zalim. Kita akan buat yang terbaik, maksudnya kita tengok dulu.

“Yang paling penting kita menang dahulu, kalau kita menang, demi untuk rakyat kita sanggup buat apa sahaja untuk rakyat. Insya-Allah kalau kata dia perlukan satu kerusi untuk (daripada) saya, boleh kita duduk kita berbincang, tetapi janganlah skrip lama berulang kembali," katanya.

Norhizam yang pernah menyandang jawatan Timbalan Pengerusi DAP Negeri Melaka ‘menawan’ kerusi Pengkalan Batu di bawah Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 dengan majoriti 2,756, namun kemudiannya bertindak keluar dari DAP dan menyokong kerajaan BN yang mengambil alih kerajaan PH di Melaka pada Mac 2020.

PRN Melaka diadakan berikutan pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas selepas empat ADUN (termasuk Norhizam) menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali, dan SPR menetapkan hari pengundian pada Sabtu ini.

Melaka mempunyai 495,195 pengundi berdaftar yang diberikan hak untuk memilih 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka menerusi peti undi, pada hari pengundian Sabtu ini. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram