Suspek samun di Tumpat bekas banduan, ada 17 rekod jenayah


  • 112
  • Isnin, 22 Nov 2021

KEJADIAN samun dilakukan dua suspek bermotosikal dirakam menerusi televisyen litar tertutup di Kampung Ana, Tumpat pada Sabtu. — Facebook

SEORANG daripada dua suspek yang terlibat dalam kes samun seorang wanita melibatkan kerugian RM7,000 di Kampung Ana, di sini Sabtu lepas, ditahan pagi Ahad.

Ketua Polis Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, suspek berusia 32 tahun yang ditahan di Wakaf Bharu itu, memiliki 17 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Beliau berkata, suspek terbabit merupakan banduan yang dibebaskan dari penjara pada bulan lalu serta turut positif dadah jenis amphetamine.

Menurutnya, dalam kejadian pada 3 petang itu, wanita berusia 43 tahun tersebut sedang menaiki motosikal di sebuah lorong di kampung berkenaan, sebelum didatangi dua lelaki tidak dikenali yang menaiki motosikal dari arah belakang dan menghalang motosikalnya.

"Pembonceng (suspek) turun dan menghampiri mangsa sambil mengeluarkan dan menunjukkan sebilah pisau ke arahnya serta menarik seutas gelang tangan emas yang dipakai mangsa sebelum melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Katanya, susulan kejadian itu, polis telah memperoleh rakaman televisyen litar tertutup dari sebuah rumah di lokasi kejadian bagi mengenal pasti kedua-dua suspek.

Sementara itu, Ab Rashid berkata, suspek direman enam hari bermula Ahad sehingga Jumaat depan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan seorang lagi suspek yang terlibat dalam kes itu sedang diburu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram