Kecoh pemandu Axia mabuk rempuh deretan kereta di Kuala Ibai


  • Tular
  • Khamis, 18 Nov 2021

TANGKAP layar video tular pemandu dipercayai mabuk yang melanggar deretan kereta di Jalan Kuala Ibai, Terengganu pada petang Khamis. — Facebook

TINDAKAN seorang pemuda memandu dipercayai dalam keadaan mabuk membawa padah selepas kereta dipandunya melanggar deretan kereta lain dalam kejadian di Jalan Kuala Ibai, Kuala Terengganu.

Menerusi satu video tular berdurasi 29 saat di Facebook pada Khamis, pemandu yang membawa kereta jenis Perodua Axia berwarna merah itu dikatakan melanggar beberapa buah kenderaan lain sehingga menyebabkan trafik sesak.

Kereta terbabit turut mengalami kerosakan di bahagian sebelah kanan depan dan bampar akibat pelanggaran tersebut.

Keadaan kereta mangsa bagaimanapun tidak diketahui sama ada mengalami kerosakan teruk atau tidak.

Bagaimanapun, apa yang mencetuskan kemarahan pengguna jalan raya dalam kejadian tersebut adalah keengganan pemandu mabuk itu keluar daripada kenderaannya walaupun sudah dikerumuni orang ramai.

axia merah

KEADAAN jalan raya di Jalan Kuala Ibai yang sesak ekoran pelanggaran beberapa deretan kereta dalam kejadian petang Khamis. — Facebook

Keadaan itu dipercayai memaksa orang sekeliling menggunakan kekerasan termasuk menendang pintu kereta untuk membuatkannya keluar.

Dalam video berasingan pula, suspek dilihat berjaya ditarik keluar daripada tempat duduk pemandu oleh pihak polis yang tiba di lokasi kejadian.

Pemandu berkenaan juga dilihat terpaksa dipapah polis kerana berjalan secara terhuyung-hayang dan sesekali terduduk kerana dikatakan di bawah pengaruh minuman keras.

Netizen turut mempersoalkan tindakan pemandu itu sama ada benar-benar memandu dalam keadaan mabuk atau khayal dadah.

Difahamkan, kejadian itu berlaku pada petang Khamis sebelum videonya tular sejak pukul 8 malam hari sama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram