KPM pinda jadual SPM 2021


  • Primer
  • Isnin, 22 Nov 2021

KPM menerima banyak pandangan daripada ibu bapa dan calon SPM 2021 berkaitan jadual SPM 2021.

SELEPAS menerima kritikan hebat daripada pelbagai pihak berhubung jadual Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Kementerian Pendidikan (KPM) akhirnya membuat keputusan mengubah jadual peperiksaan itu dengan mengumumkan satu pengeluaran jadual baharu yang akan dibuat dalam masa terdekat.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin menerusi satu video yang dimuat naik di akaun Facebooknya berkata, perkara itu dibuat selepas pihaknya meneliti semula pandangan semua pihak termasuk ibu bapa dan calon SPM 2021.

"KPM menerima banyak pandangan daripada ibu bapa dan calon SPM 2021 berkaitan jadual SPM 2021 yang telah dikeluarkan.

"Pihak kementerian mengambil kira semua pandangan yang diberikan dan saya telah duduk berbincang bersama Lembaga Peperiksaan dan pengurusan tertinggi KPM untuk melihat, mengambil tindakan sewajarnya, dan menganalisis satu persatu pandangan.

"Insya-Allah kita (KPM) akan keluarkan satu jadual baharu berkaitan SPM 2021 dalam masa yang terdekat,” katanya pada Isnin.

Video yang turut dikongsi di akaun Facebook KPM itu mendapat komen positif daripada netizen yang menzahirkan terima kasih dan rasa syukur.

Radzi turut merakamkan ucapan terima kasih kepada ibu bapa dan calon SPM 2021 yang telah memberi pandangan mereka berkaitan jadual peperiksaan SPM 2021 yang diumumkan sebelum ini.

KPM menerusi satu kenyataan pada 17 November lepas memaklumkan bahawa jadual waktu peperiksaan bagi SPM, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Ujian Pencapaian Bahasa Antarabangsa (UPBA) 2021 telah disediakan, dan boleh dimuat turun dari laman web rasmi Lembaga Peperiksaan di alamat lp.moe.gov.my bermula tarikh tersebut.

Pengumuman jadual itu menerima pelbagai reaksi daripada ibu bapa dan pelajar. Media turut melaporkan terdapat pihak yang meminta jadual SPM 2021 yang akan berlangsung pada 3 hingga 20 Mac 2022 dikaji semula, terutama kertas peperiksaan yang diadakan pada hari Jumaat dan Ahad.

Ini memandangkan Jumaat merupakan hari umat Islam melaksanakan solat Jumaat, manakala Ahad ialah hari penganut Kristian ke gereja. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Radzi Jidin, jadual, baharu, SPM 2021, KPM