Pelajar perempuan SPM parah jatuh dari tingkat empat di Kulai


  • 112
  • Khamis, 18 Nov 2021

MANGSA mengalami pendarahan di bahagian kepala dan muka, kedua-dua tangan turut patah selain turut mengalami kecederaan dalaman.

SEORANG pelajar tingkatan lima cedera parah selepas dipercayai terjatuh dari tingkat empat bangunan di sebuah sekolah di Kulai, Johor pada Selasa.

Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow, mangsa yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu merupakan seorang pelajar perempuan.

"Kejadian dipercayai berlaku setelah mangsa selesai menjalani ujian peperiksaan.

"Pegawai penyiasat kes bersama sepasukan anggota bahagian siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.26 tengah hari," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Tambahnya lagi, pihak sekolah kemudiannya menghubungi ambulan dan mangsa dibawa ke Hospital Temenggong Sri Maharaja Tun Ibrahim Kulai bagi mendapatkan rawatan lanjut.

"Mangsa seterusnya dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

"Mangsa mengalami pendarahan di bahagian kepala dan muka, kedua-dua tangan turut patah selain turut mengalami kecederaan dalaman," ujarnya.

Kata Beng Yeow, kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

pelajar, SPM, perempuan, jatuh, Kulai