RAMALAN Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa PH kalah apabila tahap peratusan keluar mengundi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka rendah, benar sama sekali.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan sebanyak 61 peratus pengundi keluar mengundi bagi PRN Melaka sehingga jam 4 petang Sabtu.
Terdahulu, Anwar mengatakan tahap peratusan keluar mengundi menggusarkan beliau dan membuatkan penilaian terhadap PRN Melaka sukar untuk dilakukan.
“Selalunya, setakat jam 1 tengah hari, sudah melebihi 50 atau 60 peratus. Ia sangat rendah. Itu sudah tentunya membimbangkan kami. Sukar untuk menilai kerana bila kamu pergi (ke Melaka), orangnya santun-santun, tetapi kamu tak boleh berkempen, tak boleh berkumpul ramai-ramai, ia menyalahi prosedur operasi standard (SOP)," katanya pada Sabtu.
Dalam pada itu, SOP larangan berkempen juga menjadi salah satu faktor kekalahan PH pada PRN Melaka.
Sebelum ini, Pengerusi PH, Adly Zahari meminta Kementerian Kesihatan (KKM) dan SPR untuk melonggarkan larangan perhimpunan sepanjang kempen PRN Melaka bagi membolehkan calon parti terbabit menyantuni para pengundi.
Adly mengatakan beliau berdepan kesukaran untuk bertemu para pengundi bagi mendengar hasrat mereka ketika berkempen berikutan larangan tersebut.
PH hanya menang enam daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan dalam PRN Melaka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram