Keputusan PRN Melaka bakal gugat kedudukan Johor, kata penganalisis


  • Massa
  • Sabtu, 20 Nov 2021

SEBANYAK 217 pusat pengundian akan dibuka pada Sabtu bagi membolehkan 476,037 pengundi membuang undi pada Pilihan Raya Negeri Melaka ke-15.

KEMENANGAN Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan menjadi penanda kepada perseteruan kedua-dua parti itu pada masa akan datang.

Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, jika keputusan pada Sabtu memihak kepada salah satu parti berkenaan, pihak yang menang akan mempunyai rasa ego terhadap pihak yang tewas.

"Ia semua bergantung kepada keputusan PRN Melaka. Jika PN menang, mereka pastinya akan 'berlagak' kerana dapat memenangi Melaka tanpa bantuan BN. Mereka akan berasa yakin untuk terus bermusuhan dengan BN.

"Sama juga seperti BN, mereka juga akan berasa bangga jika dapat mempertahankan Melaka tanpa sokongan parti lain," katanya kepada Majoriti.

Katanya, BN juga akan merasakan mereka tidak memerlukan PN lagi dalam mana-mana pilihan raya akan datang memandangkan mereka sudah cukup kuat untuk bergerak sendiri.

Mengulas lanjut, Mohd Azizuddin berkata, terdapat dua kemungkinan yang akan berlaku jika BN tewas di Melaka pada Sabtu.

Katanya, Umno mungkin akan terus bermusuhan dengan Bersatu dan berusaha untuk membalas dendam pada pilihan raya akan datang atau menerima kenyataan bahawa mereka lebih baik bersama dalam satu gabungan.

Beliau juga tidak melihat kemungkinan terdapat ahli Umno yang akan melompat parti dan menyeratai bersatu jika BN tewas pada Sabtu.

"Umno ketika ini ada masalah dalaman, tetapi ahli-ahli mereka ramai yang setia kepada parti. Jadi mereka akan memilih untuk berunding dan menyelesaikan segala isu dalam parti berbanding melompat keluar

"Bagi PN pula, mereka dari dahulu lagi memang berhasrat untuk bekerjasama dengan BN tetapi ditolak. Jika mereka tewas, mereka pastinya akan mencuba kembali untuk mewujudkan kerjasama dengan BN," jelasnya.

Sementara itu, tegas Mohd Azizuddin, keputusan PRN Melaka boleh menjadi amaran bagi negeri yang mempunyai majoriti tipis seperti di Johor.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ketika ini dibarisi 16 Adun BN dan 13 Adun PN yang membentuk kerajaan negeri, serta 27 Adun daripada Pakatan Harapan (PH).

"Johor ni bila-bila masa boleh jatuh kerana jumlah kerusi kedua-dua parti itu hampir sama dan gabungan mereka mempunyai majoriti yang rendah.

"Tetapi mungkin atas rasa ingin meneruskan pentadbiran dan sultan juga memainkan peranan penting di Johor, tidaklah sehingga membawa kepada pembubaran DUN.

"Cuma kawasan-kawasan yang mempunyai majoriti rendah pastinya akan berasa tergugat," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram