Abdul Ghafar Atan meninggal dunia akibat Covid-19


  • Primer
  • Rabu, 17 Nov 2021

ALLAHYARHAM Abdul Ghafar meninggal dunia pada jam 1.04 tengah hari, Rabu.

PENYANDANG kerusi DUN Asahan, Melaka, Datuk Seri Abdul Ghafar Atan meninggal dunia pada jam 1.04 tengah hari, Rabu.

Berita menyedihkan itu disampaikan oleh Ketua Wanita Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Zauyah Zainuddin di laman Facebooknya.

"Salam Takziah buat ahli keluarga arwah Datuk Seri Abdul Ghafar Atan, yang baru sebentar meninggal dunia. Moga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Al Fatihah..," tulisnya.

Allahyarham sebelum ini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka akibat Covid-19.

Menurut jurucakap Hospital Melaka, Abdul Ghafar telah ditidurkan sejak 9 November lalu berikutan keadaan kesihatannya semakin menurun.

Ketua Umno Bahagian Alor Gajah itu terdahulu disahkan positif Covid-19 sejak minggu lepas dan mendapat rawatan di hospital Melaka.

Beliau tidak dicalonkan untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram