BN kuasai 7 kerusi panas PRN Melaka, Idris Haron ketinggalan


  • Politik
  • Sabtu, 20 Nov 2021

BN dan PN bersaing sengit ketika ini dalam PRN Melaka. — Agensi

BARISAN NASIONAL (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dilihat memberi saingan antara satu sama lain di tujuh kerusi panas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

BN mendahului di DUN Rim menyaksikan Datuk Khaidira Abu Zahar mendahului dengan 3,266 undi mengatasi PN (1,998) dan PH (1,797).

DUN Lendu pula menyaksikan Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali jauh meninggalkan dua lagi calon PH dan PN dengan jumlah undi sebanyak 1,600.

Keputusan hampir sama juga setakat ini diraih Fairul Nizam Roslan (BN) dengan jumlah undi sebanyak 1,225 jauh meninggalkan calon PH, Datuk Seri Idris Haron (295).

Calon BN, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman juga mendahului dengan 479 undi di Telok Mas.

Sementara itu, BN mendahului PN di empat DUN iaitu Tanjung Bidara, Sungai Udang, Bukit Katil dan Sungai Rambai.

Di Tanjung Bidara, Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN) yang dicalonkan sebagai Ketua Menteri Melaka dilihat gagal menyaingi calon BN, Datuk Seri Ab. Rauf Yusof yang mendahului undi sebanyak 1,157.

Calon termuda, Farzana Hayani Nasir (PH) juga gagal meraih sokongan pengundi di DUN Sungai Rambai apabila hanya memperoleh 762 undian. Siti Faizah Abdul Azis (BN) mendahului dengan 2,280 undi.

Senario berbeza di DUN Bukit Katil apabila calon PH, Adly Zahari mendahului 4,481 undian.

Di DUN Sungai Udang, calon PN, Dr. Mohd Aleef Yusof kekal mendahului calon lain dengan 4,812 undian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram