Hanya 61 peratus keluar undi, isyarat rakyat kepada kerajaan


  • Politik
  • Sabtu, 20 Nov 2021

BERDASARKAN peratusan keluar mengundi yang rendah, rakyat di negeri Melaka dianggap sebenarnya tidak bersedia menghadapi pilihan raya kali ini. — The Star

PERATUSAN keluar mengundi yang rendah iaitu sebanyak 61 peratus pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka merupakan satu bentuk mesej daripada rakyat kepada kerajaan Persekutuan.

Koordinator Penyelidikan REFSA, Fakhrurrazi Rashid berkata, peratusan rendah menunjukkan rakyat masih lagi tidak mempercayai kerajaan dan pihak berkuasa.

Bahkan, katanya, ia juga merupakan tamparan terutamanya kepada Kementerian Kesihatan (KKM) kerana mereka sepatutnya meyakinkan keadaan sudah selamat untuk rakyat keluar mengundi.

“Saya rasa ini adalah mesej kepada kerajaan dan pihak berkuasa, bagaimana masyarakat masih lagi tidak mempercayai atau ada defisit kepercayaan kepada pihak berkuasa kerana mereka sudah dua dos vaksin, jaga jarak, jaga SOP tapi masih ada keraguan untuk keluar mengundi.

“Saya fikir ini adalah satu perkara yang perlu dikaji untuk pastikan pilihan raya akan datang berlaku secara adil dan saksama kepada semua parti politik dan kepada pengundi itu sendiri,” katanya.

Sementara itu, Prof Datuk Dr Ismail Sualman berkata, terdapat dua faktor utama yang akan menyebabkan peratusan itu menurun terutamanya dalam keadaan situasi rakyat yang mungkin masih berasa tidak ada kewajaran bagi mereka ditarik dalam polemik politik ketika ini.

“Apa yang saya dapat analisis di sini ada beberapa perkara yang mungkin menyebabkan mereka tidak mahu turun mengundi. Antaranya, sesetengah mereka mengatakan, kenapa rakyat terpaksa diheret untuk mengundi sedangkan alasan untuk mengundi itu tidak kukuh ataupun tidak sepertinya atas asas-asas demokrasi.

“Yang kedua, sesetengah daripadanya masih menganggap bahawa ini adalah seperti pilihan raya kecil sahaja dan bukanya pilihan raya umum atau PRN dan kebanyakan mereka mahu hanya mengundi untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 sahaja nanti," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan sebanyak 61 peratus pengundi telah keluar mengundi bagi PRN Melaka sehingga jam 4 petang Sabtu.

“Peratus keseluruhan keluar mengundi biasa bagi PRN Melaka Ke-15 pada jam 4 petang adalah sebanyak 61 peratus,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh pada 18 Oktober dilaporkan berkata, SPR menyasarkan kira-kira 70 peratus daripada pengundi yang layak akan keluar mengundi. — Astro Awani

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram