Syarat VTL Malaysia-Singapura diumum pada Khamis


  • Primer
  • Jumaat, 19 Nov 2021

SINGAPURA memulakan VTL bagi pengembara antarabangsa pada Oktober. — Reuters

KEMENTERIAN Pengangkutan pada Khamis mengumumkan syarat bagi Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) udara Malaysia-Singapura yang bakal bermula 29 November kelak.

Kementerian berkenaan menerusi satu kenyataan dikeluarkan pada Khamis, memaklumkan pengembara dari Singapura tidak perlu memohon kebenaran perjalanan ke Malaysia di bawah VTL memandangkan kemudahan kemasukan akan diproses semasa ketibaan selain tidak perlu memohon MyTravelPass daripada Jabatan Imigresen Malaysia.

Tambah kenyataan terbabit, pengembara perlu menggunakan perkhidmatan penerbangan VTL yang ditetapkan antara Lapangan Terbang Changi dan KLIA serta tidak perlu menjalani kuarantin semasa ketibaan.

Penerbangan VTL akan bermula dengan enam kali penerbangan setiap hari yang dikendalikan oleh AirAsia, Jetstar Asia, Malaysia Airlines, Malindo Air, Scoot, dan Singapore Airlines.

Selain itu, pengembara perlu melengkapkan vaksin Covid-19 diiktiraf Kementerian Kesihatan (KKM) dan berada di Singapura atau Malaysia dalam tempoh 14 hari berturut-turut sebelum berlepas ke Malaysia.

Bagi pelawat jangka pendek, termasuk pengembara perniagaan dan rasmi mesti mendapatkan visa sah untuk pelawat yang memerlukan visa selain perlu membeli tiket pergi dan balik serta insurans perjalanan dengan perlindungan minimum RM100,000 untuk kos rawatan perubatan hospital berkaitan Covid-19.

Pelancong juga mesti menjalani ujian RT-PCR dalam tempoh dua hari sebelum berlepas ke Malaysia dan semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan menunggu keputusan ujian di ruang menunggu ditetapkan KLIA dan boleh berlepas meninggalkan lapangan terbang selepas ujian disahkan negatif.

"Malaysia menggariskan hubungan yang terjalin lama, mendalam dan meluas dengan Singapura khususnya dalam memperkukuhkan ketersambungan pengangkutan Malaysia-Singapura.

"Pandemik Covid-19 telah mewujudkan halangan yang luar biasa dan mempunyai kesan jangka panjang terhadap perjalanan udara yang mengakibatkan penurunan dalam permintaan.

"VTL adalah pencapaian penting untuk memulakan semula pemulihan penerbangan awam, yang pada masa sama turut mengambil kira isu kesihatan awam, bagi memastikan daya tahannya di masa hadapan,” menurut kenyataan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram