'Guru terbeban, apa nak jadi dengan sistem pendidikan negara?'


SISTEM penggiliran akan lebih membebankan jika tiada kerjasama ibu bapa untuk pastikan anak ke sekolah.

APA mahu jadi dengan sistem pendidikan negara? Itu persoalan yang diajukan oleh Pakar Pendidikan, Dr Anuar Ahmad.

Beliau yang juga merupakan pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut berkongsi realiti sebenar beban guru menjalani sistem penggiliran bagi sesi persekolahan yang baharu.

Kongsinya dalam hantaran di akaun laman sosial Facebook, kebanyakkan guru terpaksa menelan rasa kecewa kerana sistem berkenaan lebih merumitkan ekoran ada murid yang tidak hadir ketika dijadualkan memasuki kelas.

"Satu kelas ada 36 orang murid. Arahan dari Kementerian Pendidikan (KPM) mesti pecah dua kumpulan.

"Satu kumpulan 18 orang tetapi dari jumlah itu, ramai pula yang tidak hadir. Akhirnya yang datang kurang dari 10 murid.

"Cikgu yang bersemangat dan sudah buat persiapan nak mengajar, masuk kelas mengeluh panjang, kecewa," kongsinya.

Tambahnya, jika dilihat kepada situasi itu, beban guru semakin bertambah kerana mereka bukan sahaja perlu mengajar murid yang hadir ke sekolah, tetapi memikirkan cara bagaimana mereka yang 'ponteng' tidak ketinggalan.

"Mereka juga perlu sediakan bahan untuk murid yang belajar sendirian di rumah kerana ikut giliran.

"Jangan lupa, setiap hari guru mengajar beberapa kelas," tulisnya lagi.

Anuar turut menambah, guru-guru terpaksa melalui cabaran sehingga bulan Mac 2022.

Katanya lagi tidak semua yang fahan apa yang ditanggung guru-guru dan hakikatnya sistem semasa akan lebih membebankan jika tiada kerjasama ibu bapa untuk pastikan anak ke sekolah mengikut jadual penggiliran.

Hantaran Anuar turut mendpat sokongan ramai pengguna Facebook yang memberikan lebih 2,000 reaksi.

Rata-rata yang dipercayai warga pendidik turut berkongsi pengalaman menjalani sesi persekolahan baharu dengan kehadiran murid yang mengecewakan.

Seorang pengguna, Mohammad Faizudin Zainudin berkongsi bahawa pernah berlaku ada seorang murid sahaja yang hadir ke kelasnya.

Suhaila Bukhari juga berdepan situasi sama, berkongsi pengalaman mengajar hanya 2 hingga 3 orang pelajar yang hadir ke kelas.

Katanya lagi lebih menyedihkan apabila diberi tugasan, tudak semua yang menyiapkannya dan hanya satu atau dua pelajar sahaja yang menghantar tugasan mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

KPM, Anuar Ahmad, Guru, Penggiliran, Sekolah, murid