Gaji sebenar pekerja Malaysia dijangka naik tahun 2022


  • Massa
  • Jumaat, 19 Nov 2021

INDONESIA, Vietnam dan Thailand, juga merupakan antara negara yang dijangka menyaksikan kadar kenaikan gaji terpantas tahun 2022. — The Star

GAJI sebenar pekerja di Malaysia diunjur akan menerima kenaikan 2.8 peratus pada 2022, menurut Laporan Trend Gaji terkini oleh penyedia data pengurusan pekerja dan perisian, ECA International.

Berdasarkan laporan itu, kadar itu meningkat daripada pertumbuhan 1.5 peratus tahun 2021.

Menurut laporan itu lagi, selain di Malaysia, negara-negara Asia Tenggara termasuk Indonesia, Vietnam dan Thailand, antara negara dijangka menyaksikan kadar kenaikan gaji terpantas tahun depan berbanding 2021.

Katanya, ia berikutan apabila ekonomi negara berkenaan pulih daripada kesan pandemik Covid-19 dan sempadan antarabangsa dibuka semula.

Pengarah Serantau ECA International - Asia, Lee Quane berkata, Indonesia dan Malaysia adalah antara negara yang paling terjejas akibat pandemik Covid-19.

"Kedua-dua negara ini dijangka menyaksikan beberapa peningkatan tertinggi dalam kadar pertumbuhan gaji di Asia-Pasifik pada 2022 apabila ekonomi masing-masing kembali normal.

"Sekiranya negara-negara ini mampu mengawal inflasi pada 2022, prospek ekonomi yang bertambah baik memberi petunjuk bahawa kadar kenaikan gaji sebenar bagi pekerja di negara-negara ini akan menjadi antara yang tertinggi di rantau ini,” katanya menerusi satu kenyataan.

Tambah beliau lagi, laporan itu juga menyatakan kenaikan gaji sebenar untuk pekerja diunjurkan pada 1.9 peratus secara purata di seluruh rantau Asia Pasifik pada 2022.

"Ia lebih tinggi daripada rantau lain dengan jangkaan kenaikan gaji sebenar global hanya 0.9 peratus secara purata.

"Laporan Trend Gaji tahunan itu turut menganalisis kenaikan gaji semasa dan menjangkakan kenaikan gaji akan berlaku kepada lebih 70 negara dan bandar di seluruh dunia," ujarnya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram