GTA 5 masih laku selepas lapan tahun dilancarkan, terjual lebih 155 juta salinan


  • eSports
  • Sabtu, 06 Nov 2021

GTA 5 mula berada di pasaran sejak 17 September 2013. — Agensi

PERMAINAN video aksi pengembaraan, Grand Theft Auto (GTA) 5 mencatat jualan sebanyak lima juta salinan dalam tempoh tiga bulan terakhir, menjadikan jualan keseluruhan permainan itu meningkat kepada lebih daripada 155 juta unit.

Perkara itu diumumkan oleh syarikat pengeluarnya, Take-Two minggu ini ketika melaporkan pendapatan suku ketiga tahunannya.

Jumlah tersebut semamangnya satu angka yang cukup hebat, memandangkan GTA 5 dilancarkan lapan tahun lalu pada 17 September 2013.

Peminat francais GTA juga mungkin tidak menyangka mereka masih akan bermain GTA 5 pada tahun 2021.

Setakat ini, masih tiada ura-ura edisi terbaru GTA akan menemui peminat, malah khabar angin mengatakan bahawa GTA 6 mungkin hanya akan tiba seawal 2025.

Ketika itu, umur GTA 5 akan mencecah 12 tahun, tetapi jika penguasaannya berterusan, tidak mustahil permainan video itu boleh mencapai jualan melebihi 200 juta salinan.

Satu-satunya permainan yang telah terjual melebihi GTA 5 adalah Minecraft, sebanyak 238 juta salinan dan masih lagi terjual sehingga kini.

Jumlah 155 juta salinan itu juga jauh lebih tinggi berbanding francais GTA kedua terlaris, iaitu GTA San Andreas, yang terjual sekitar 27.5 juta salinan.

Jualan GTA 5 juga dilihat tidak akan menurun dalam masa terdekat kerana edisi yang dipertingkatkan akan dilancarkan untuk konsol PS5 dan Xbox Series X dan S pada tahun hadapan.

Selain itu, kini hanya tinggal seminggu lagi untuk ketibaan versi trilogi ‘remastered’, Grand Theft Auto: The Trilogy – The Definitive Edition, yang diumumkan oleh Take-Two bulan lalu.

Versi digital bakal dilancarkan pada 11 November sementara edisi fizikal pula pada 7 Disember. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram