SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) telah menyenaraikan operasi prosedur standard (SOP) untuk pengundi yang hadir bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bakal berlangsung pada Sabtu (20 November).
Bagaimanapun, Pakar Kesihatan Awam Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman berkata, pengundi perlu sentiasa lakukan ujian kendiri setiap kali terdedah dengan sebarang aktiviti yang berkaitan dengan PRN bagi mengelakkan kejadian seperti PRN Sabah berulang lagi.
"Dengan melakukan ujian kendiri sekali sahaja sebelum menghadiri pilihan raya tidak memadai kerana semua aktiviti yang dilakukan itu mungkin berisiko untuk menularkan jangkitan.
"Kalau perlu berkempen sepanjang PRN dan ada individu dalam kalangan mereka yang tidak mematuhi SOP, maka pengundi harus lakukan ujian kendiri setiap kali terdedah kepada aktiviti tersebut," katanya kepada Majoriti.
Selain itu, beliau juga mengingatkan para pengundi supaya sentiasa memakai pelitup muka terutama sekali ketika berada di kawasan yang sesak.
Malina turut menyarankan agar pengundi tidak membawa anak kecil ke pusat mengundi dan secara tidak langsung mendedahkan mereka dengan risiko jangkitan wabak Covid-19.
"Elakkan daripada membuka pelitup muka ketika berada di kawasan yang sesak..Kalau dalam konteks PRN Melaka ini, saya memang tak galakkan pengundi membuka pelitup muka untuk makan atau minum.
"Sebab kalau PRN dekat mana-mana sekalipun kita memang tak dapat nak elak daripada berlakunya kesesakan. Bagi individu yang mahu melibatkan diri dalam sebarang kempen atau pergi mengundi juga perlu memastikan yang diri mereka sudah mendapat dos vaksin lengkap," ujarnya.
Dalam pada itu, Malina memberi cadangan supaya segala kempen pilihan raya pada masa hadapan diadakan melalui media massa berbanding secara fizikal di tempat awam bagi mengurangkan risiko daripada berlakunya jangkitan baharu ketika PRN.
"Sekarang ini nampak diskriminasi masih jelas, hanya mereka yang berada di dalam kerajaan yang diberi peluang untuk berkempen. Tetapi individu yang berada dalam barisan alternatif ini tidak dapat masuk ke media perdana.
"Jadi mengapa perubahan itu tidak dapat dilakukan? Mungkin generasi akan datang dapat mengusulkannya." katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram