Khayal dadah, mabuk, tiada lesen antara kesalahan pemandu bas pekerja di Johor


  • 112
  • Selasa, 09 Nov 2021

POLIS dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor melakukan pemeriksaan terhadap pemandu bas serta van pekerja pada Selasa. — Bernama

KHAYAL dadah, mabuk dan tidak memiliki lesen memandu antara kesalahan yang sering direkodkan melibatkan pemandu bas pekerja di Johor.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, terdapat juga pengusaha menggajikan pemandu warga asing, selain membawa penumpang melebihi kapasiti had permit atas alasan mahu mengurangkan kos dan mementingkan keuntungan.

"Terdapat satu kejadian pada 21 Oktober lalu, melibatkan sebuah bas pekerja dipandu secara melulu dan berbahaya di kawasan perindustrian Tebrau, Johor Bahru. Apabila kita dapat kesan pemandu itu, ujian air kencing dilakukan dan didapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

"Susulan itu, dalam operasi kali ini, kita menjalankan ujian air kencing terhadap 20 pemandu bas pekerja dan dua daripadanya iaitu lelaki tempatan berumur 54 dan 34 tahun didapati positif dadah jenis methamphetamine dan ganja,” katanya kepada pemberita pada Operasi Bersepadu Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Johor pada Selasa.

Tambahnya, dalam operasi berkenaan, sebanyak 42 saman dikeluarkan termasuk membabitkan dua individu tidak mempunyai lesen memandu manakala 25 yang lain tiada lesen Kenderaan Perdagangan dan Lesen Vokasional (GDL dan PSV).

Dalam operasi yang sama, Jabatan Alam Sekitar turut mengeluarkan 26 saman, enam notis dan empat kompaun atas kesalahan berkaitan asap serta bunyi kenderaan.

Ujar Ayob Khan, sejumlah 89 kes kemalangan jalan raya melibatkan bas pekerja direkodkan di Johor sejak Januari hingga Oktober, jika dibandingkan dengan 144 kes kemalangan jalan raya melibatkan bas pekerja pada tahun lalu.

Dalam perkembangan lain, beliau mengingatkan semua kontraktor penyelenggaraan jalan raya untuk memastikan setiap kon penghadang di jalan raya, turut diisi dengan pemberat seperti pasir atau air.

Peringatan itu susulan pihaknya menerima laporan pada 6 Oktober lalu tentang seorang penunggang motosikal mengalami cedera ringan dan hampir dirempuh sebuah lori selepas terjatuh akibat terlanggar kon yang bergerak di Jalan Kempas Lama-Seelong, Johor Bahru.

"Sehubungan itu, saya memberi peringatan kepada semua kontraktor terlibat dalam kerja penyelenggaraan jalan raya, pastikan kon yang diletak mesti berisi sama ada air atau pasir, agar kon itu tidak bergerak dan kekal statik," ujarnya.

Beliau turut mengingatkan semua kontraktor untuk membuat pemakluman di Ibu Pejabat Polis Daerah bagi sebarang kerja penyelenggaraan jalan raya yang memerlukan kon bagi memastikan kejadian sama tidak berulang dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap kontraktor yang cuai.

Pada 5 Oktober lalu, tular sebuah video berdurasi 34 saat di media sosial yang dirakam oleh pemandu kereta lain memaparkan penunggang motosikal berhenti selepas melanggar kon yang jatuh di tepi jalan yang sedang dalam penyelenggaraan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram