Kecoh gelombang keempat Covid-19, Pengarah Kesihatan Selangor perjelas situasi sebenar


  • Massa
  • Khamis, 18 Nov 2021

KEADAAN wad Hospital Hybrid, Hospital Tengku Ampuan Rahimah yang sesak dengan pesakit kritikal Covid-19 semasa kes pernah mencecah angka lebih 20,000 hari sebelum ini. — Facebook

KECOH di laman sosial Facebook dan Twitter selepas seorang pakar perubatan memberi bayangan bahawa Malaysia bakal berdepan dengan gelombang keempat Covid-19 pada Disember ini.

Menerusi laman Twitter, doktor Hospital Sungai Buloh, Dr. Azfar Kamal berkata, kes Covid-19 dijangka melonjak dalam tempoh dua minggu lagi dengan dinyatakan wad dan Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital kembali dipenuhi oleh pesakit Covid-19 kategori empat dan lima.

Memperjelaskan situasi itu, Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha'ri Ngadiman berkata, peningkatan kes Covid-19 di ICU Hospital Sungai Buloh adalah disebabkan hospital itu merupakan Hospital Full Covid-19.

Bahkan, menurutnya, hospital tersebut menjadi hospital rujukan Covid-19 bagi semua hospital bukan sahaja di Negeri Selangor tetapi juga di Lembah Klang.

"Oleh itu, ICU Hospital Sungai Buloh juga menerima kes-kes Covid-19 dari hospital lain agar ICU hospital lain boleh diguna pakai untuk menampung lebih banyak keperluan kes bukan Covid-19," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sha'ri berkata, sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi situasi peningkatan kes Covid-19 yang memerlukan kemasukan ke Hospital Sungai Buloh, Sistem Gas Oksigen di Pusat Kawalan Kusta Negara ditambah baik bagi menampung kes-kes Covid-19 di samping membantu mengurangkan beban Hospital Sungai Buloh.

"Selain itu, Hospital Sungai Buloh disokong juga oleh hospital-hospital lain di Lembah Klang sekiranya diperlukan untuk menampung keperluan kemasukan kes Covid-19 ke hospital atau ICU," jelasnya.

Sementara itu, Sha'ri berkata, sehingga 8 pagi Khamis, bilangan katil ICU di Hospital Sungai Buloh adalah sebanyak 54 buah katil dengan kadar penggunaan 96 peratus.

Menurutnya, kadar penggunaan katil ICU dan repurposed ICU di Selangor termasuk kes Covid-19 dan bukan Covid-19 adalah 80 peratus daripada keseluruhan 203 buah katil bagi tempoh sama.

Katanya, ICU di Hospital Hybrid (Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Hospital Selayang, Hospital Serdang dan Hospital Ampang) dan Hospital Bukan Covid-19 (Hospital Shah Alam dan semua Hospital Daerah di Selangor) diisi juga dengan kes bukan Covid-19.

"Jumlah pesakit ICU terkini yang merupakan kes Covid-19 (disahkan dan disyaki Covid-19) adalah sebanyak 86 kes iaitu sebanyak 42 peratus daripada kapasiti ICU di Selangor. Selebihnya merupakan kes bukan Covid-19," jelasnya.

Katanya, jumlah katil bukan kritikal di hospital bagi pesakit Covid-19 adalah sebanyak 1,286 katil dengan kadar penggunaan sebanyak 92 peratus bagi tempoh sama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram