Malaysia berdepan gelombang keempat Covid-19 dua minggu lagi — Doktor Hospital Sungai Buloh


  • Primer
  • Rabu, 17 Nov 2021

KKM sebelum ini memberi amaran hospital di negara ini dikhuatiri lumpuh jika penggunaan katil dan ICU berada di tahap maksimum. — Gambar hiasan

SEORANG pakar kesihatan memberi amaran kemungkinan berlakunya gelombang keempat Covid-19 yang dijangka melanda negara pada Disember depan.

Menerusi ciapan di Twitter, Dr Azfar Kamal yang bertugas di Hospital Sungai Buloh memaklumkan, lonjakan kes akan berlaku dalam tempoh dua minggu akan datang.

Menurutnya, pusat Covid-19 sedang melakukan persediaan untuk menghadapi gelombang baharu.

"Wad dan unit rawatan rapi (ICU) hospital kembali dipenuhi oleh pesakit Covid-19 kategori empat dan lima.

"Tolong amalkan prosedur operasi standard (SOP), basuh tangan dan jaga jarak selain memakai pelitup muka sepanjang masa. Bagi mereka yang bakal ke luar negara, dapatkan dos penggalak segera. Jaga diri," katanya pada Selasa.

azfar

TANGKAP layar ciapan Dr Azfar Kamal berhubung amaran gelombang baharu Covid-19. — Twitter

Kes baharu positif Covid-19 menunjukkan peningkatan sejak minggu lalu susulan orang ramai melakukan pergerakan rentas negeri sempena cuti Deepavali selain hampir semua sektor dibenar kembali beroperasi.

Sementara itu, kadar penggunaan katil ICU di Lembah Klang setakat Selasa mencatatkan 81.5 peratus iaitu tertinggi dicatatkan berbanding negeri lain.

Pada masa sama, kadar penggunaan hospital Covid-19 di Lembah Klang kini adalah 61.6 peratus, kapasiti pusat kuarantin (57.2 peratus) dan penggunaan alat bantuan pernafasan (30.4 peratus).

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah pada sidang akhbar Jumaat lalu memaklumkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 (R-Naught) di negara ini meningkat kepada angka 1.0 dan ini mungkin tanda awal kes positif wabak itu akan melonjak.

Beliau berkata, nilai R-Naught (Rt) 1.0 bermakna kes akan mendatar dan tidak menurun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram