Guna kanabis untuk perubatan, boleh mohon kepada PBKD — KJ


  • Primer
  • Rabu, 17 Nov 2021

PENGGUNAAN kanabis dalam perubatan boleh didaftarkan sekiranya mempunyai bukti saintifik yang menyokongnya. — Gambar hiasan

MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan mana-mana pihak boleh mengemukakan permohonan bagi penggunaan kanabis untuk tujuan perubatan kepada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

Ujarnya, PBKD akan menilai dan mendaftarkan permohonan tersebut sekiranya pemohon mempunyai bukti saintifik mencukupi untuk dipasarkan.

Khairy bagaimanapun berkata, ketika ini tiada produk berasaskan kanabis digunakan bagi tujuan perubatan yang berdaftar di Malaysia.

"Sekiranya terdapat pihak yang mempunyai bukti saintifik mencukupi untuk menggunakan kanabis bagi tujuan perubatan dengan mengambil kira aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanannya.

"Permohonan untuk mendaftarkan keluaran mengandungi kanabis bagi tujuan pengubatan itu boleh dikemukakan kepada PBKD untuk dinilai dan didaftarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 serta seterusnya dipasarkan di Malaysia," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 peringkat dasar di Dewan Rakyat pada Rabu.

Tambah Khairy, akta sedia ada yang mengawal selia kanabis dan hasilnya di negara ini iaitu Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Jualan Dadah 1952 tidak menghalang penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan.

"PBKD pernah mendaftarkan satu produk berasaskan kanabis iaitu ‘Sativex’ pada tahun 2014 namun atas permintaan pihak syarikat itu pendaftaran produk berkenaan dibatalkan pada tahun 2017," katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyarankan agar kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengkaji kebaikan serta memberi kelulusan kepada industri ganja jenis 'hemp' dan marijuana perubatan bagi memastikan industri tersebut dikawal selia dengan baik.

Jelas Syed Saddiq, sudah tiba masa bagi Malaysia melaksanakan usaha itu memandangkan industri tersebut boleh membantu sebagai kaedah rawatan alternatif termasuk kepada masalah kesihatan mental. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Parlimen, kanabis, PBKD, Khairy, saintifik, pasar