Tikam sampai mati sebelum ratah mangsa, lelaki ini hanya dipenjara seumur hidup


  • Benua
  • Rabu, 17 Nov 2021

TERTUDUH berada dalam keadaan waras ketika membunuh dan memakan daging kesemua mangsanya.— Agensi

SEORANG pembunuh kanibal dari Rusia dijatuhi hukuman penjara seumur hidup setelah didapati bersalah kerana memakan daging mangsa sambil menikmati minuman keras.

Memetik laporan Daily Star, Vladimir Yadne, 32, dilaporkan menikam tiga mangsa sehingga mati sebelum memakan daging mentah mereka di sebuah kawasan perkampungan di Gaz-Sale.

Menurut fakta kes, tertuduh menemui seorang lelaki dan perempuan yang sedang berjalan-jalan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli minuman keras.

Dia kemudiannya bertengkar dengan kedua-dua mangsa sebelum membunuh mereka dalam kejadian pada 6 Mac lalu.

“Tertuduh membuat keputusan untuk merasa daging mentah manusia yang baru dibunuh.

“Dia mempunyai minuman keras bersamanya, dan minum sambil memakan daging mangsa,” kata Ketua Jabatan Keadilan Jenayah Wilayah Autonomi Yamalo-Nenets, Inna Nosova.

Hubungan antara tertuduh dengan kedua-dua mangsa tersebut bagaimanapun tidak didedahkan selain senjata yang digunakan untuk membunuh mangsa-mangsa turut tidak dijelaskan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh kemudiannya membunuh seorang lagi mangsa sebelum turut bertindak memakan dagingnya.

Polis menemui mayat mangsa ketiga di lokasi berbeza daripada dua mangsa sebelumnya.

Tertuduh ditahan beberapa jam selepas itu dan mengaku membunuh tiga individu terbabit.

Dia turut menjalani ujian psikiatri disebabkan corak pembunuhannya, namun disahkan berada dalam keadaan waras ketika membunuh dan memakan daging kesemua mangsa. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram