KEJADIAN kereta melawan arus bukanlah sesuatu yang baharu, malah insiden seumpama itu juga pernah menyebabkan kemalangan hingga meragut nyawa.
Kali ini tular sekali lagi kes lawan arus di Kemaman, Terengganu, melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang didakwa dipandu oleh seorang warga emas.
Dikongsi dalam satu hantaran video di media sosial Facebook oleh Park Are, kejadian tersebut dikatakan berlaku di laluan sehala dua lorong di Bukit Kuang, Kemaman.
Video berdurasi tujuh saat itu memaparkan sebuah kereta Myvi berwarna merah berada di lorong bertentangan yang sedang mengundur sambil dibantu oleh pemilik kenderaan pacuan empat roda jenis Hilux.
Pemandu Hilux itu memantau pemandu Myvi supaya tidak dilanggar oleh kenderaan lain yang melalui jalan berkenaan.
Park Are dalam status berkenaan menulis supaya penduduk di Kemaman yang mengenali pemilik kenderaan tersebut supaya tidak membiarkan warga emas berkenaan memandu sendirian.
"Assalamualaikum warga Kemaman, minta tolong kepada siapa yang mengenali pemilik kereta ini, tidak perlu bagi 'orang tua' pandu seorang diri.
"Kenderaan lawan arus, lokasi Bukit Kuang," tulisnya.
Perkongsian itu mendapat lebih 1,000 reaksi dan rata-rata warganet memuji tindakan pemandu Hilux berkenaan.
Terdapat pengguna Facebook menyatakan rasa syukur kerana tiada kemalangan yang berlaku ekoran insiden itu, malah mereka menasihatkan supaya pemandu lebih berhati-hati selepas ini.
Pada 30 Oktober lalu, tular, sebuah video menunjukkan sebuah kereta jenis Perodua Alza bergerak melawan arus di Johor.
Kejadian dirakam oleh seorang pengguna Faceboook Aliff Haiqal pada Ahad, yang mengatakan kejadian itu berlaku di jalan Skudai-Pontian berdekatan stesen minyak Shell.
Kereta tersebut dilihat bergerak di laluan paling kanan dan hampir-hampir melanggar sebuah kereta yang berada di laluan tersebut.
Dua hari sebelumnya, satu lagi insiden pandu lawan arus berlaku di Lebuh Raya Senai-Desaru arah Tiram, Johor. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram