SEORANG wanita berputih mata apabila wang simpanannya bersama suami sebanyak RM8,500 lesap, selepas kehilangan kad mesin juruwang automatik (ATM) baru-baru ini.
Menerusi perkongsian di laman Facebook, Nur Farah Khayrunnisa, 22, berkata, kad ATM milik suaminya hilang pada 27 Oktober lalu sebelum ia ditemui orang lain, yang melakukan transaksi pengeluaran wang pada hari sama.
Hantaran Nur Farah di laman Facebook.
Nur Farah yang juga ejen penapis air berkata, dia dan suaminya tersilap langkah apabila lambat bertindak untuk melaporkan kehilangan kad ATM itu kepada pihak bank.
"Silap juga suami saya letak pin (nombor pin keselamatan) senang sangat iaitu 123456, dia cakap supaya senang ingat.
"Haish, tak tahu pula boleh jadi sampai macam ni, sedih duit simpanan selama kahwin lesap macam tu sahaja. Bank cakap memang tak boleh buat apa.
"Buat pengajaran semua, jangan letak no pin tarikh birthday (hari kelahiran) atau 123456," katanya.
Menurut ecentral, terdapat enam perkara yang boleh dilakukan oleh seseorang apabila menyedari mereka kehilangan kad bank.
Pertama, seseorang perlu cari atau double check kad berkenaan sekiranya ia terselit di celah-celah dompet atau tercicir di sekitar rumah.
Langkah seterusnya yang boleh dilakukan adalah dengan menyemak semula online banking.
"Kalau ada sebarang tranksaksi terkini yang tak dikenali, jangan lupa catat segala maklumat berkaitan termasuk jumlah transaksi, masa dan tarikh," katanya.
Selain itu, orang ramai disarankan untuk segera dan tidak bertangguh untuk menghubungi pegawai khidmat pelanggan bank berkaitan.
"Beritahu pegawai bank yang kad kita hilang dan minta mereka batalkan kad itu serta merta – jangan ambil remeh ya.
Walaupun pencuri itu tidak tahu no pin kita, zaman sekarang dah canggih, pakai PayWave pun dah boleh guna.
"Jangan lupa tanya dokumen apa yang bank perlukan untuk pembaharuan kad," katanya.
Malah orang ramai juga disarankan juga untuk membuat laporan polis serta pergi ke cawangan bank terdekat untuk membuat pembaharuan kad. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram