Ketagihan ganja boleh cetus masalah sosial di Malaysia — Pakar


  • Massa
  • Jumaat, 12 Nov 2021

TIADA produk berasaskan kanabis (ganja) untuk kegunaan rawatan perubatan manusia yang berdaftar di Malaysia sehingga kini. — Gambar hiasan

MASALAH besar di Malaysia berhubung penggunaan ganja adalah kesedaran kepada kesan ketagihan (addiction effect), euforia (high) dan merasa ketagihan yang menjurus kepada masalah sosial, kata pakar kesihatan.

Menurut Timbalan Pengarah Institut Kajian, Pembangunan dan Inovasi (IRDI), International Medical University (IMU), Prof Azizi Ayob, ganja itu sendiri agak sukar dikawal apabila mereka yang ketagih untuk mengawal pengambilannya.

"Dari sudut bahan kimia aktif dalam ganja itu sendiri boleh memudaratkan kerana penagih ganja sering membakar dan dicampurkan dengan rokok atau shisha untuk menambah kesan ketagihan dan 'kesedapan'.

"Jadi apa yang berlaku di luar negara bukanlah satu sandaran yang kukuh untuk membenarkan penggunaannya kecuali hanya untuk kebaikan perawatan sahaja dibenarkan," katanya kepada Majoriti.

Prof Azizi Ayob

Prof Azizi Ayob.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang wujud pandangan segelintir pihak yang mendakwa ganja mendatangkan kesan baik kepada penurunan kadar jenayah seperti yang berlaku di Amerika Syarikat (AS).

Pada 2012, kadar jenayah di Washington menurun ke paras terendah dalam tempoh 40 tahun selepas membenarkan penggunaan ganja secara rekreasi. Pada tahun yang sama juga, Colorado turut mencatatkan hanya 2.4 peratus kes jenayah.

Tambah Azizi, beberapa proses tertentu perlu dilaksanakan sebelum ganja boleh digunakan secara meluas dalam bidang perubatan di negara ini.

"Kenal pasti kaedah dan kawalan penggunaan ganja hanya untuk kajian perubatan dibenarkan, selain perlu melalui pelbagai proses ujian di makmal, ke atas model haiwan dan dos yang tertentu perlu dikenalpasti untuk melakukan kajian klinikal perubatan.

"Maka, data keselamatan dan tahap kesan ganja perlu dikenalpasti oleh pihak penyelidik atau Kementerian Kesihatan (KKM).

"Ganja mempunyai bahan kimia psikoaktif utama iaitu delta 9 tetrahydrocannibinol (THC). Kandungan THC dan sifat semula jadi terhadap reseptor dalam badan, THC kurang memberi kesan ketagihan sekiranya dos yang digunakan untuk tujuan perawatan dan perubatan.

"THC juga didakwa dapat mengurangkan kesakitan kronik bagi pesakit kanser, radang dan masalah kawalan otot. Ganja juga mempunyai bahan aktif lain seperti CBN (Cannabinol) dan CBD (Cannabidiol)," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram