Polis buru lelaki bergaduh sebelum menghilang di Rinching, Semenyih


  • 112
  • Selasa, 16 Nov 2021

PIHAK polis mengklasifikasikan kes ini sebagai kes merusuh bersenjata. — Gambar hiasan

POLIS Kajang sedang mengesan sekumpulan lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian pergaduhan di Seksyen 5 Bandar Rinching, Semenyih Selangor pada awal pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan MERS 999 melalui Pusat Kawalan Daerah memaklumkan terdapat pergaduhan antara sekumpulan lelaki di lokasi berkenaan pada pukul 6 pagi.

Beliau berkata, semasa pihak polis bertugas tiba di lokasi, mangsa dan suspek yang dipercayai terlibat telah tiada dan gagal dikesan di lokasi lot kedai kawasan terbabit.

"Pemeriksaan dan siasatan awal mendapati terdapat dua buah kenderaan yang ditemui dipercayai ditinggalkan dalam keadaan rosak dan pecah cermin tingkap bersama kesan darah di tempat kejadian.

"Usaha mengesan saksi dan mangsa di dalam kejadian ini sedang giat dijalankan bagi membantu siasatan. Identiti dan bangsa mereka tidak dapat dikenal pasti lagi," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, motif atau punca kejadian masih dalam siasatan dan pihak polis mengklasifikasikan kes ini sebagai kes merusuh bersenjata di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Ali Hamzah di talian 019-8660324. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram