Pemberian booster secara walk-in bakal diputuskan — Khairy


  • Primer
  • Selasa, 16 Nov 2021

PEMBERIAN dos penggalak diutamakan kepada warga emas dan golongan petugas barisan hadapan buat masa ini. — Gambar hiasan/The Star

KERAJAAN akan memutuskan sama ada untuk membenarkan pengambilan suntikan dos penggalak secara jumpa terus atau 'walk-in', menerusi satu mesyuarat petang Selasa.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ia susulan 40 peratus individu yang telah diberi janji temu tidak hadir mendapatkan suntikan dos penggalak.

"Petang ini saya akan pengerusikan mesyuarat CITF (Badan Bertindak Imunisasi Covid-19) dan kami akan buat keputusan untuk mereka yang nak terima booster (dos penggalak) ini," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Malaysia sebagai Destinasi Rawatan Hepatitis-C di Kuala Lumpur pada Selasa.

Khairy berkata demikian ketika ditanya perancangan dan dasar yang akan diambil kerajaan susulan kira-kira 40 peratus individu yang menerima janji temu untuk vaksinasi dos penggalak di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) tidak hadir untuk menerima suntikan itu.

Situasi itu menimbulkan kebimbangan berkenaan kemungkinan jumlah kemasukan pesakit ke hospital akan meningkat sekiranya bilangan mereka yang menerima dos penggalak itu kekal rendah.

Pemberian dos penggalak bermula pada 13 Oktober lepas di seluruh negara untuk individu yang mendapat dos lengkap vaksin Covid-19 bagi memastikan imuniti yang diterima selepas dos lengkap dapat dikekalkan bagi tempoh optimum khususnya terhadap jangkitan varian Delta. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram