'Mall bersepah, harga makanan sihat mahal, memanglah rakyat tidak sihat'


MENURUT statistik, seorang daripada 20 rakyat negara ini tidak mengamalkan pemakanan mengikut nutrisi yang betul. — MOHD SAHAR MISNI/The Star

MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada Khamis menasihati rakyat supaya mengubah tingkah laku mereka serta meningkatkan kesedaran bagi melahirkan negara dan rakyat yang sihat.

Tegasnya, ini kerana Malaysia dianggap sebagai negara bukan sihat memandangkan jumlah rakyat yang menghidapi penyakit jantung dan obesiti adalah tinggi.

Beliau berkata, kesedaran tentang aspek kesihatan dalam kalangan rakyat juga masih berada di tahap rendah.

"Kalau tanya saya sebagai menteri, adakah Malaysia negara sihat sekarang? Tidak.

"Kita antara negara kadar tertinggi dari segi obesiti, sakit jantung dan antara penyebab punca kematian Covid-19 di negara ini adalah sebab sebahagian besar daripada pesakit mengalami komobiditi atau kronik," katanya.

Selain itu, menurut statistik, seorang daripada 20 rakyat negara ini tidak mengamalkan pemakanan mengikut nutrisi yang betul, jelasnya.

Komen beliau mendapat perhatian netizen di media sosial yang mendakwa, masalah ini timbul kerana pelbagai dasar kerajaan itu sendiri yang tidak menggalakkan rakyat untuk menjalani hidup sihat.

komen netizen

Antara komen-komen netizen di Twitter.

Ramai yang membangkitkan isu pembinaan pusat beli-belah yang begitu banyak di negara ini berbanding taman rekreasi yang dapat menggalakkan lebih ramai rakyat untuk melakukan aktiviti sihat.

"Perbanyakan kawasan indoor dan outdoor untuk bersenam. Mall dan perumahan mahal banyak-banyak buat apa?," soal pengguna Twitter @AbdMuhaimin26.

"Mungkin boleh pertimbangkan untuk membina lebih banyak taman rekreasi daripada kondo mewah yang tidak berguna atau kawasan rumah kedai kosong," kata @watercrown.

Selain itu, ada yang turut mendakwa harga makanan sihat di negara ini tidak mampu milik, menyebabkan orang ramai lebih memilih untuk makan makanan yang tidak sihat.

"Turunkan harga barang yang menjurus kepada makanan sihat," kata @nnnniiissshhhh.

"Saya makan makanan yang mempunyai karbohidrat rendah atas sebab kesihatan. (Harganya) Lebih mahal untuk (mengamalkan diet) protein dan serat!" luah @WhiteOneTwang.

Sementara itu, @yoyoyoyowatsup pula berkata, perancangan bandar di negara ini yang tidak mesra pejalan kaki menyebabkan rakyat lebih gemar menggunakan kenderaan persendirian berbanding berjalan kaki dan menggunakan kenderaan awam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram